Di Amanz kami sering mengikuti pelbagai projek yang menawarkan pengalaman melancong ke angkasa lepas. SpaceX, Blue Origin dan Virgin Galactic adalah tiga syarikat yang kini memberikan peluang sekali seumur ini kepada mereka yang sanggup membayarnya. Tetapi ketika orang lain sibuk melihat ke atas, OceanGate Expeditions melihat ke bawah dan menawarkan pengalaman melancong ke lokasi karamnya kapal Titanic di Lautan Atlantic.
Syarikat rintis ini telah melakukan ujian dengan lima penumpang yang terdiri daripada dua krew dan CEO syarikat Stockton Rush dan dua lagi penumpang yang membayar £195,000 (~RM987,000) seorang untuk melawat Titanic. Tetapi kapal selam yang diberi nama Titan ini dilaporkan telah hilang sejak Ahad lalu. Kali terakhir ia dijejak ialah apabila ia berada berhampiran Titanic dan ia dipercayai mungkin terperangkap di antara puing kapal.
Walaupun sudah hilang lebih 24 jam, Titan mempunyai bekalan oksigen sehingga 96 jam memberikan harapan krew jika masih hidup bertahan sehingga hari Khamis untuk diselamatkan. Misi mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan bantuan beberapa agensi kerajaan dan tentera laut. Ini secara tidak langsung menjadikannya misi menyelamatkan kapal selam paling dalam pernah dilakukan sebelum ini.
Titanic berada pada kedudukan 3800 meter di bawah paras laut. Tidak banyak kapal selam mempunyai kemampuan menyelam ke kedalaman ini yang membuatkan misi ini hampir mustahil. Menjadikan misi mencari dan menyelamat semakin sukar ialah OceanGate gagal menghubungi Titan semasa ia dalam proses menyelam ke Titanic.