Canon PowerShot V10 Kini Boleh Dibeli Di Malaysia Pada Harga RM1999
Amy Maizuraa
Canon PowerShot V10 kini boleh didapati di Malaysia secara rasmi sejak pelancarannya pada Mei lalu. Dijual dengan harga RM1,999, pembelian yang dibuat pada hari ini sehingga 31 Julai akan datang melayakkan anda menerima hadiah percuma bernilai RM200 berupa SmallRig Cage Kit. Ketersediaan adalah menerusi pengedar sah Canon di seluruh Malaysia dengan dua pilahan warna disediakan, sama ada hitam atau perak.

Canon PowerShot V10 ialah sebuah kamera video yang direka khusus untuk golongan YouTuber dan Tiktoker. Ia mampu merakam video 4K UHD yang turut boleh digunakan bagi penstriman secara langsung. Di samping turut memuatkan sensor 1″ CMOS serta lensa f/2.8 dan cip pemprosesan imej DIGIC X.
Ciri-ciri lain yang disediakan termasuklah keupayaan zum secara digital sehingga 3X, sistem penstabilan imej digital dan pilihan penapis filem menarik. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai pelbagai pilihan mod autofokus yang boleh dikawal termasuklah One-Shot AF, Movie Servo AF, Face Tracking dan sebagainya.

Binaan yang kompak pula memudahkannya untuk dipegang, dalam pada itu terdapat juga tongkat terbina yang membolehkan kamera ini diletakkan secara rata di atas meja. Melengkapi kamera ini adalah skrin LCD sesentuh sebesar 2″ juga boleh diputarkan ke hadapan untuk swavideo.