Xiaomi 13 Ultra Kini Rasmi Di Malaysia Dengan Harga RM5199
Fahim Zahar
Hari ini akhirnya Xiaomi Malaysia telah melancarkan Xiaomi 13 Ultra secara rasmi. Peranti ini adalah yang ketiga di pasaran tempatan menyokong kamera dengan sensor 1-inci selepas Vivo X90 Pro dan Xiaomi 13 Pro.

Skrin adalah 6.73″ AMOLED LTPO 120Hz. Cip pemprosesan adalah Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan memori 12GB RAM, dan storan dalaman 512GB.
Bateri sebesar 5000 mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan berwayar 90W, pengecasan nirwayar 50W dan pengecasan nirwayar berbalik 10W. Xiaomi turut menyertakan mod hibernasi yang membolehkan peranti beroperasi sehingga 1 jam apabila bateri mencapai tahap 1%.

Sistem kuad kamera 13 Ultra menjadi fokus utama peranti ini yang menggabungkan sensor sudut lebar 50MP 1″ Sony IMX989, OIS + 50MP Sony IMX858 sudut ultra-lebar + 50MP Sony IMX858 zum optikal 3.2X, OIS + 50MP Sony IMX858 zum optikal 5X, OIS telefoto. Peranti turut boleh melakukan zum mencapai 120X.

Kamera swafoto pula menggunakan sensor 32MP. Keunikan kamera utama tadi adalah menggunakan teknologi bukaan lensa boleh-ubah dari f/1.9 ke f/4.0 untuk mengawal kemasukan cahaya ke sensor.
Masih terdapat sistem audio stereo bersama dengan sokong HDR Dolby Vision serta HDR10+ yang memuaskan. Pengimbas cap jari bawah skrin melengkapi spesifikasi Xiaomi 13 Ultra.

Harga jualan di Malaysia adalah RM5199. Hanya satu variasi ditawarkan iaitu 12/512 GB dengan dua pilihan warna sama ada hitam atau hijau.
Pra-tempahan peranti akan bermula dari 23 Jun sehingga 29 Jun. Mereka yang menempah akan menerima pencetak Xiaomi Instant Photo Printer 1S bernilai RM619 dan langganan Google One 100GB untuk 6 bulan.