AirBnb merupakan sebuah perkhidmatan menyewa tempat tinggal jangka-masa pendek yang seringkali dimanfaatkan untuk percutian yang singkat dan murah. Pada tahun lepas, Pulau Pinang telah mengharamkan sewa jangka pendek di semua hartanah persendirian di negeri tersebut, dan laporan terbaru daripada Bloomberg mengatakan bahawa kerajaan Malaysia mungkin akan melanjutkan larangan tersebut ke seluruh negara.
Isu terbesar yang dilihat membelenggu rakyat khususnya di Pulau Pinang nampaknya ialah penyewa jangka pendek ini dilihat mengganggu ketenteraman penduduk sekitar, tidak kira di rumah ataupun di apartment, yang menyebabkan kerajaan negeri tersebut mengambil keputusan ini.

Mich Goh, ketua dasar awam AirBnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan mengatakan bahawa Malaysia adalah salah satu daripada negara yang sedang membincangkan untuk mengehadkan lingkungan penyewaan AirBNB, dan ialah negara yang paling hampir untuk mula melaksanakan dasar yang cukup drastik ini.
Kerajaan Pulau Pinang telah menetapkan bahawa semua hartanah persendirian, kecuali enam jenis hartanah komersil seperti pangsapuri servis tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai lokasi penginapan AirBnb dan juga mana-mana perkhidmatan yang sama dengannya. Polisi yang akan dibentangkan oleh kerajaan pusat tidak diketahui lagi, tetapi dijangka adalah lebih kurang sama dengan apa yang ditetapkan oleh kerajaan negeri itu.
Menariknya, AirBnb juga dilihat diantara salah satu penyumbang pendapatan dari segi pelancongan, dimana ia telah dilaporkan bahawa Malaysia merupakan salah satu bandar yang paling dilawati di Asia Tenggara pada tahun lepas, menurut laporan syarikat tersebut.