Sementara Apple dan Amazon telah memperkenalkan sokongan audio HiFi pada perkhidmatan penstriman muzik masing-masing, pihak Spotify yang turut telah mengumumkan perancangan sama pada 2021 lepas, tetapi masih tidak memperkenalkan sokongan tersebut sehingga ke hari ini. Namun, perkara tersebut dijangka akan berubah tidak lama lagi mengikut laporan terbaru.
Menurut Bloomberg, kini Spotify sedang merancang untuk memperkenalkan pelan langganan berharga lebih inggi yang akan turut menyertakan sokongan audio HiFi ini.
Secara dalaman, pelan ini dikenali dengan nama “Supremium”, dan dijangka akan menjadi pelan paling mahal ditawarkan Spotify. Melaluinya juga, Spotify dijangka akan dapat menjana pendapatan tambahan berbanding pada hari ini.
Spotify juga pada masa yang sama sedang melihat dalam usaha memperluaskan lagi akses penawaran buku audio pada platform mereka.
Buat masa ini, tarikh pengenalan untuk ciri audio HiFi ini masih tidak diketahui lagi. Ia dikatakan Spotify merancang memperkenalkan pelan ini seawal tahun ini di beberapa pasaran.