Carian
Siri Komputer Riba Acer TravelMate Dikemaskini Dengan Binaan PCR, Komponen Terbaru
June 21, 2023 Nazrin

Siri komputer riba produktiviti Acer TravelMate ialah diantara model yang paling dikenali sebagai penawaran tertua didalam siri komputer riba mereka, menggabungkan komponen berkuasa dan juga rekaan yang membolehkannya digunakan di pelbagai lokasi.

Acer Malaysia hari ini memperkenalkan tiga buah siri dibawah nama TravelMate, termasuklah Acer TravelMate P2, Acer TravelMate P4 dan Acer TravelMate P6. Kesemua komputer-komputer riba ini dibangunkan dengan keperluan pelbagai jenis pengguna, dimana ia merumahkan pelbagai cip pemprosesan Intel generasi ke-13, termasuklah Intel Core i3, Intel Core i5 dan juga Intel Core i7.

Acer TravelMate P2 misalnya hadir dengan tiga model, dimana dua daripadanya hadir dengan paparan bersaiz 14 inci dengan resolusi 1920×1200 dan satu model dengan paparan 16 inci dengan resolusi yang sama. Komputer-komputer riba ini juga dimuatkan dengan memori LPDDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD sebesar 512GB.

Acer TravelMate P4 pula terdiri daripada TravelMate P414 dan TravelMate P414 Spin yang hadir dengan paparan 14 inci dengan resolusi 1920×1200 dan memori sehingga 16GB dan storan SSD 512GB. Keunikan pada TravelMate P414 Spin ialah ia mempunyai paparan skrin yang boleh dipusing 360 darjah untuk menjadikan komputer riba ini sebagai sebuah tablet yang berkuasa juga.

Acer TravelMate P6 pula ialah komputer riba paling premium didalam siri ini, dimana ia tampil dengan paparan bersaiz 16 inci dan juga rekaan serba nipis dan ringan. Kedua-dua model Acer TravelMate P6 ini hadir dengan paparan skrin 16 inci dengan resolusi 1920×1200, tetapi perbezaannya ialah salah satu model ini hadir dengan paparan OLED, manakala satu lagi model mempunyai fungsi skrin sesentuh.

Komputer riba ini dikuasakan oleh cip Intel Core i7-1355U dengan memori LPDDR5 16GB dan juga storan SSD terbina sebesar 1TB.

Tanda harga untuk komputer-komputer riba ini adalah seperti berikut:

  • Acer TravelMate P214-55-38JN – RM3249
  • Acer TravelMate P214-55-50VL – RM3959
  • Acer TravelMate P216-51-5375 – RM3899
  • Acer TravelMate P414-53-5253 – RM4559
  • Acer TravelMate P414RM-53-75V8 – RM5699
  • Acer TravelMate P614-53-7802 – RM6899
  • Acer TravelMate P614-53T-738D – RM6799

Acer Malaysia mengatakan bahawa komputer-komputer riba ini sudahpun boleh mula didapati melalui kedai atas-talian Acer eStore dan juga di Shopee dan Lazada dan kedai fizikal pengedar rasmi Acer Malaysia.

Komen