Klise dalam setiap filem dan siri TV ialah ujian kehamilan dilakukan dengan ia dilakukan di dalam tandas. Ini kerana kit ujian yang dijual mengesan kehadiran hormon human chorionic gonadotrophin (hCG) dalam air kencing. Ini menyebabkan perkongsian keputusan kit ujian yang positif kelihatan agak janggal. Kejanggalan ini akan berakhir kerana kit ujian kehamilan pertama menggunakan air liur telah mula dijual di UK dan Ireland.

Kit SaliStick berfungsi seperti kit ujian Covid-19. Terdapat batang plastik yang diletakkan ke dalam mulut yang akan mengumpulkan air liur. Batang plastik ini kemudiannya dimasukkan ke dalam tangkai ujian SaliStick. Keputusan akan diberikan dalam masa 10 minit. Dalam ujian yang dilakukan, SaliStick mempunyai ketepatan sehingga 90% dengan kehamilan dikesan seawal 4 minggu selepas kitaran haid terakhir.
Seperti kit ujian air kencing, SaliStick juga mengesan kehadiran hormon hCG tetapi dalam air liur. Ia walau bagaimanapun mempunyai kekurangan di mana ia hanya boleh digunakan 30 minit selepas makan dan minum. Dengan SaliStick ujian boleh dilakukan di mana sahaja tanpa perlu mencari tandas dan air kencing mengotori tangan.