Carian
Ulasan Acer Swift Go 14 AMD – Kuda Kerja Serba Boleh
June 30, 2023 Nazrin

Acer ialah sebuah jenama komputer yang tidak asing lagi oleh rakyat Malaysia. Mereka hadir dengan pelbagai pilihan peranti untuk pelbagai jenis kegunaan, dari produktiviti asas di pejabat dan rumah hinggalah ke komputer riba gaming yang juga cukup berkuasa untuk digunakan sebagai mesin kreativiti profesional.

Kami baru-baru ini berpeluang untuk menguji salah satu komputer riba produktiviti asas terbaru Acer, iaitu Acer Swift Go 14 AMD, sebuah komputer yang dikuasakan sepenuhnya oleh siri cip pemprosesan dan juga cip grafik AMD.

Acer Swift Go 14 AMD
Skrin14″ FHD (1920×1080) IPS, 60Hz
CPUAMD Ryzen 7 7730U
GPUAMD Radeon
RAM16GB LPDDR5-5200 
Muatan Dalaman512GB M.2 2242 PCIe Gen4 
Kamera Utama1080p
I/O1x USB-A 3.2 Gen 1
2x USB-C 4.0
1x HDMI 2.1
Bateri71 Wh (4 Sel)
Pengecasan 65W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6e
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan wajah Windows Hello
Harga JualanBermula RM3199 (AMD Ryzen 5)

Rekaan

Acer Swift Go 14 AMD tampil dengan paparan skrin IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 1920×1080 dengan kadar segar semula 60FPS, di mana anda juga boleh memilih untuk mendapatkan paparan skrin OLED dengan resolusi 2.8K jika anda mahukannya.

Cuma dengan kebanyakan komputer riba kebelakangan ini yang hadir dengan rekaan paparan hampir nirbingkai, ia sedikit mengecewakan bahawa paparan komputer ini masih lagi mempunyai dahi dan dagu yang agak tebal untuk sebuah komputer riba moden.

Rangka komputer riba ini diperbuat daripada aloi aluminium, dan ini membolehkan komputer riba ini hadir dengan berat serendah 1.25KG dan dengan ketebalan 14.9mm sahaja. Acer Swift Go 14 AMD ini boleh dijadikan sebuah komputer riba produktiviti nipis dan ringan yang boleh dibawa kemana-mana sahaja.

Dari segi pilihan I/O komputer riba ini dimuatkan dengan 2x USB4 yang boleh digunakan untuk mengecas komputer riba menggunakan pengecas 65W, 2x USB 3.0 Type-A dan 1x HDMI 2.1 yang boleh digunakan untuk menyambungkan komputer riba ini kepada sebuah paparan skrin yang lebih besar sekiranya diperlukan.

Sayangnya jika anda memerlukan sebuah pembaca kad, anda perlu membelinya secara berasingan kerana komputer riba ini tidak hadir dengan sebarang pembaca kad terbina.

Sebagai sebahagian daripada pelan Acer untuk menggunakan sebanyak bahan kitar semula yang mungkin di dalam binaan komputer riba, Acer menggunakan gelas kitar semula OceanGlass sebagai pad sesentuh komputer riba ini.

Dalam pada itu, kotak bungkusan komputer riba ini juga diperbuat daripada 100 peratus kertas kitar semula dan tiada bahan plastik digunakan didalamnya.

Spesifikasi

Seperti yang dikatakan sebelum ini, Acer Swift Go 14 AMD dikuasakan sepenuhnya oleh komponen-komponen AMD. Ini termasuklah penggunaan CPU AMD Phoenix, iaitu AMD Ryzen 7 7730U yang dimuatkan dengan lapan teras fizikal dan 16 bebenang kuasa yang beroperasi pada kelajuan asas 2.0GHz dan Turbo Boost 4.5GHz. Ia juga hadir dengan memori LPDDR5 16GB dan mempunyai storan SSD PCIe 4.0.

Dari segi kemampuan grafik pula, cip pemprosesan grafik AMD Radeon Vega dimuatkan ke dalam cip pemprosesan tersebut dan hadir dengan lapan unit perkomputeran dengan kelajuan 2.0GHz, yang saya akan katakan bahawa ia adalah cukup berkuasa untuk menggerakkan segelintir permainan moden pada resolusi Full HD pada tetapan sederhana dan rendah.

Untuk menyejukkan komponen-komponen ini, Acer Swift Go 14 AMD ini juga dilengkapi dengan sistem penyejukan TwinAir, yang menggabungkan dua kipas penyejukan, paip haba tembaga dan juga ruang pengudaraan melalui papan kekunci komputer riba ini yang kemudiannya mengalirkan haba dari ruang pengudaraan di hadapan bahagian paparan skrin.

Di sini saya berasa sedikit aneh mengapa haba dialirkan di hadapan bahagian paparan kerana dedahan ke udara panas untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan kerosakan ke paparan ini. Tetapi mungkin kerana cip pemprosesan ini hanya menggunakan kuasa maksima sebanyak 28W sahaja, mereka tidak risau akan perkara ini.

Dalam pada itu, komputer riba ini juga menyokong sambungan WiFi6E, jadi jika anda mempunyai sekurang-kurangnya sebuah penghala WiFi6, anda boleh memanfaatkan sambungan internet nirwayar yang sangat pantas melalui komputer riba ini.

Pengalaman Pengguna

Dari segi produktiviti dan riadah harian seperti melayari laman web, menulis artikel-artikel harian, menyunting gambar dan video ringkas, termasuklah menonton video YouTube dan sebagainya, Acer Swift Go 14 AMD ini boleh melakukannya tanpa sebarang masalah.

Untuk tugasan harian seperti yang saya nyatakan tadi, komputer riba ini boleh melakukannya tanpa isu seperti bahagian papan kekunci ataupun paparan panas, dan jika saya merendahkan nilai kecerahan paparan ke sekitar 50 peratus, yang saya biasanya akan lakukan, jangka hayat bateri komputer riba ini juga dilihat bertahan agak lama, selama sekitar 7 ke 8 jam dengan satu pengecasan penuh.

Komputer riba ini juga dimuatkan dengan sebuah kamera beresolusi 1080p, dan walaupun saya jarang menggunakannya sepanjang ulasan ini, saya boleh katakan bahawa kualiti olahan video yang dipaparkan adalah cukup baik sekali, dan dengan hanya sedikit sahaja lengah masa yang diperlihatkan.

Satu kemampuan yang saya tidak jangkakan pada komputer riba ini ialah kebolehannya untuk menggerakkan permainan video yang moden. Sepanjang dua minggu saya menggunakan komputer riba ini, saya telah berjaya untuk menghabiskan kempen penceritaan permainan Diablo IV.

Saya dapat menggerakkan permainan tersebut dengan gabungan tetapan pertengahan dan rendah yang boleh menggerakkan permainan tersebut pada resolusi Full HD dengan kadar segar semula sekitar 30FPS. Ya, terdapat sedikit lengah masa yang dapat diperlihatkan apabila saya bermain permainan ini, tetapi secara keseluruhannya, pengalaman saya tidaklah begitu buruk.

Ya, komputer riba ini boleh menggerakkan permainan komputer menggunakan cip pemprosesan grafik yang terbina, tetapi saya perlu menasihati anda bahawa terdapat kebarangkalian bahawa ada permainan yang komputer riba ini tidak dapat digerakkan.

Walaupun setelah saya mengemaskini semua perisian yang diperlukan, komputer riba ini masih lagi mengeluarkan amaran yang mengatakan bahawa permainan yang saya cuba gerakkan tidak disokong (mungkin secara rasmi) oleh cip pemprosesan komputer riba ini. Anehnya apabila saya menutup amaran tersebut, permainan komputer tersebut (Diablo IV) masih boleh digerakkan tanpa masalah.

Boleh Memainkan Diablo IV

Jika ada masanya apabila komputer riba ini akan menjadi panas, ia adalah apabila saya bermain permainan komputer. Ini bagi saya adalah sesuatu yang tidak begitu mengejutkan khususnya apabila komponen GPU komputer riba ini harus bekerja keras untuk menggerakkan bingkai-bingkai grafik yang diperlukan, tetapi ia tidaklah begitu teruk sehingga saya tidak boleh menyentuh bahagian papan kekunci.

Ujian Penanda Aras

Ini adalah beberapa ujian penanda-aras yang kami jalankan untuk menguji kemampuan komputer riba ini.

PCMark

CrystalDiskMark

Bateri

Satu lagi aspek yang saya benar-benar gemari tentang Acer Swift Go 14 AMD ini ialah ia mempunyai jangka hayat bateri yang bagi saya adalah agak panjang. Dengan kecerahan paparan ditetapkan pada 50 peratus, saya boleh menggunakan komputer riba ini selama 7 ke 8 jam dengan satu pengecasan penuh.

Saya tidak akan mencuba untuk menggerakkan permainan komputer menggunakan kuasa bateri kerana prestasi gaming komputer riba ini memerlukan bekalan kuasa yang berterusan untuk ia berfungsi dengan baik.

Apa Dalam Kotak

Sebagai langkah untuk mengurangkan penggunaan bahan yang tidak diperlukan, bungkusan kotak komputer-komputer riba Acer kebelakangan ini dilihat hadir dengan bungkusan dan juga aksesori minima yang tidak menyemakkan ruangan.

  • Acer Swift Go 14 AMD x1
  • Pengecas USB Type-C 65W x1

Penutup

Acer Swift Go 14 hadir dalam pelbagai jenis konfigurasi, tetapi model AMD ini bagi saya dilihat sebagai sebuah nafas segar untuk pengguna yang dilihat mahukan sesuatu yang lain dari yang lain.

Dari segi produktiviti, Acer Swift Go 14 AMD ini tidak ada sebarang masalah untuk membantu anda menyiapkan tugasan-tugasan harian anda. Ia juga cukup nipis dan ringan untuk dibawa di dalam beg galas anda dan sekiranya anda sudahpun mempunyai pengecas 65W yang digunakan untuk mengecas peranti pintar anda, pengecas sama dan kabel USB Type-C boleh digunakan untuk mengecas komputer riba ini juga.

Pada tanda harga RM3999, tanda harga komputer riba ini yang dikuasakan oleh cip AMD Ryzen 7 7730U memang sedikit mahal, tetapi jika anda mahukan pilihan yang lebih mesra dompet, penawaran dengan cip pemprosesan AMD Ryzen 5 7530U dan konfigurasi memori dan storan yang sedikit lebih rendah juga ada ditawarkan di pasaran tempatan.

Pro:

  • Komputer riba dikuasakan sepenuhnya oleh AMD
  • Cukup berkuasa untuk tugasan produktiviti dan riadah
  • Ringan, nipis dan mudah dibawa kemana-mana
  • Jangka hayat bateri panjang
  • Boleh dicas menggunakan pengecas USB-C

Kontra:

  • Paparan skrin berdagu dan dahi tebal
  • Engsel yang terlalu ketat
  • Lokasi ruang pengudaraan yang aneh
  • Tiada pembaca kad SD
Komen