Carian
Dropbox Dash Diumumkan – Enjin Carian Universal Peribadi Dikuasakan AI
June 21, 2023 Aman

Disamping memperkenalkan kemudahan meringkaskan dokumen menggunakan kecerdasan buatan, Dropbox turut mengambil peluang dalam memperkenalkan satu lagi produk baharu yang menjadi keutamaan mereka, dinamakan Dropbox Dash.

Dropbox Dash dipasarkan sebagai sebuah enjin carian universal yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan. Ia turut boleh dihubungkan ke platform seperti Google Workspace, Microsoft Outlook, Salesforce dan banyak lagi dalam memudahkan anda mencari pelbagai perkara dengan mudah dan pantas – antara aplikasi mahupun antara tab pelayar web yang dibuka.

Dengan langkah ini, Dropbox memfokuskan dalam meningkatkan lagi produktiviti, dan mengurangkan masa terbazir dalam mencari sesuatu fail dan dokumen.

Bersama integrasi kecerdasan buatan juga, Dropbox Dash kelak akan menjadi lebih pintar, dan boleh menjawab pelbagai persoalan melibatkan dokumen dan fail anda dengan mudah. Ini sekaligus memudahkan lagi anda mendapatkan penyelesaian dengan pantas berbanding perlu membaca setiap dokumen secara manual.

Dropbox Dash ditawarkan secara terhad dalam bahasa Inggeris buat masa ini. Bagi anda yang berminat, boleh mendaftar minat pada laman rasmi Dropbox Dash hari ini.

Komen