Pembangunan teknologi adikomputer kuantum dilihat sebagai satu perlumbaan diantara pelbagai syarikat-syarikat teknologi global. Ia merupakan sebuah komputer yang menggunakan teori fizik kuantum untuk membolehkan pengiraan, pemprosesan dan penyimpanan data yang jauh lebih pantas dan tepat berbanding apa yang boleh dilakukan oleh adikomputer biasa sekarang.
Microsoft kini telah mengumumkan bahawa mereka sudah sedia dengan komponen-komponen asas untuk membina adikomputer kuantum mereka sendiri, dan mereka berasa yakin bahawa mereka boleh membangunkan komputer kuantum mereka sendiri dalam masa 10 tahun sahaja.
Dibawah program perkhidmatan kuantum awanan Azure Quantum mereka, Microsoft telah memperkenalkan tiga kemajuan teknologi baru yang dilihat akan membantu mereka dalam memajukan teknologi perkomputeran kuantum mereka sendiri.
Pertama ialah Azure Quantum Elements yang menggabungkan kuasa perkomputeran berprestasi tinggi, perkomputeran kuantum dan juga kecerdasan buatan untuk mempercepatkan kejayaan dan penemuan baru didalam dunia sains.
Dengan Azure Quantum Elements, ketiga-tiga teknologi ini digabungkan untuk mempercepatkan pelbagai jenis pengiraan, simulasi bahan dan penyelidikan dari berbulan lamanya ke hanya beberapa minggu sahaja.
Ahli kimia misalnya boleh menggunakan teknologi ini untuk mempercepatkan simulasi reaksi kimia sebanyak 500 ribu kali lebih pantas, memendekkan pengiraan dari satu tahun ke hanya satu minit menggunakan kemampuan pengiraan perkomputeran kuantum.
Teknologi kedua ialah Copilot untuk Azure Quantum. Ya, Microsoft dilihat telah memperkenalkan sistem kecerdasan buatan didalam perkhidmatan kuantum awanan mereka, yang dilihat akan membantu saintis dalam menjana pengiraan, pertanyaan dan visualisasi data yang mungkin terlalu rumit untuk dilakukan seorang diri.
Dengan Copilot untuk Azure Quantum Elements, pengguna juga boleh berjinak dengan perkomputeran kuantum dan boleh mengaturcara perisian untuk komputer kuantum yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai jenis pengiraan yang secara lazimnya akan mengambil masa yang sangat lama walaupun untuk adikomputer sedia ada.
Bercakap mengenai adikomputer kuantum, Microsoft mengatakan bahawa untuk membangunkan sebuah komputer ini, ada tiga peringkat yang perlu dilepasi terlebih dahulu. Pertama ialah pembangunan qubit ataupun pemproses kuantum yang diperlukan sebagai komponen yang digunakan sebagai “otak” kepada komputer kuantum ini.
Kedua ialah penggunaan qubit logik yang dilihat mempunyai kecekapan yang jauh lebih baik berbanding qubit fizikal dari segi isyarat hingar dan kadar pemprosesan data. Tahap ketiga pula ialah skala, dimana pembangun komputer kuantum perlu boleh membangunkan adikomputer ini pada skala yang besar untuk benar-benar memanfaatkan kuasa perkomputeran ini.
Microsoft mengatakan bahawa mereka telah membangunkan teknologi qubit yang membolehkan mereka melepasi tahap pertama, dengan kebolehan mereka untuk mengawal zarah Majorana. Ini akan membolehkan mereka untuk kemudiannya membangunkan qubit logik dan kemudiannya ke tahap ketiga dengan membangunkan qubit-qubit ini pada skala yang besar.
Seperti yang dikatakan, semua ini dijangka boleh berlaku dalam lingkungan 10 tahun, dimana Microsoft kemudiannya akan memperkenalkan adikomputer kuantum mereka yang pertama.