Carian
Perisian Pembangunan Aplikasi Untuk Apple Vision Pro Kini Boleh Dimuat-turun
June 22, 2023 Nazrin

Apple telah melancarkan set realiti terimbuh Apple Vision Pro beberapa minggu yang lalu, dan kini, syarikat tersebut telah mengumumkan bahawa perisian pembangunan aplikasi (Software Development Kit) VisionOS mereka kini boleh dimuat-turun oleh pembangun perisian.

Untuk mereka yang sudahpun biasa dengan membangunkan aplikasi dan perisian untuk platform Apple seperti MacOS, iOS, iPadOS dan sebagainya, pembangunan aplikasi untuk VisionOS juga dilihat sama seperti platform-platform lain Apple.

Ia menggunakan asas kod yang sama seperti Xcode, SwiftUI, RealityKit, ARKit dan TestFlight, yang mana semuanya adalah platform pengaturcaraan yang tidak asing lagi untuk pembangun aplikasi perkakasan Apple.

Satu ciri baru yang diperlihatkan pada sistem operasi ini ialah tetingkap Spatial Computing, yang menjadikan ruang penglihatan anda sebagai sebuah skrin yang tiada had. Tetingkap perisian yang dibuka didalam ruang ini dibangunkan menggunakan Swift, dan pengguna secara teknikalnya boleh membuka seberapa banyak tetingkap perisian yang dimahukan, ataupun memfokuskan kepada satu tetingkap sahaja yang dilihat akan hadir dengan ciri-ciri tambahan.

Perisian Reality Composer Pro juga diperkenalkan untuk membolehkan pembangun untuk menguji tetingkap 3D, gambar, video dan animasi didalam set kepala Vision Pro ini. Dalam pada itu, sokongan untuk enjin grafik Unity juga akan diperkenalkan pada bulan hadapan.

Apple juga mengatakan lebih banyak perisian untuk pembangun akan diperkenalkan dalam masa yang terdekat ini.

Komen