Amazfit Cheetah Dan Cheetah Pro Dilancarkan Dengan Fokus Terhadap Sukan Larian
Amy Maizuraa
Amazfit kini mempunyai dua pilihan peranti boleh pakai bahari di bawah penjenamaan Cheetah. Dengan fokus terhadap prestasi, ia direka khusus buat pelari pemula mahupun profesional, selain turut menyediakan banyak manfaat kepada kesihatan.
Bermula dengan Amazfit Cheetah Pro menggunakan skrin utama bulat bersama dua butang fizikal di sebelah sisi kanan. Kerangka diperbuat daripada aloi titanium yang bersifat tahan lasak, manakala bingkai tengah pula menggunakan bahan komposit polimer bertulang gentian karbon bertujuan menjadikannya lebih ringan.

Skrin adalah sejenis AMOLED beresolusi 480X480 piksel dengan saiz 1.45″ dan kecerahan puncak mencapai 1000nits. Sementara itu dua butang fizikal terbina tadi pula boleh digunakan untuk pelbagai kawalan pada jam tangan. Menariknya lagi apabila terdapat ciri Zepp Coach yang dilengkapi Chatbox dengan teknologi Large Language Model yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenali bahasa. Seterusnya memberikan jawapan dalam konteks yang lebih jelas. Ia bagaimanapun masih di peringkat demo pendek, sebelum kelak disediakan sebagai langganan di beberapa pasaran terpilih.

Antara ciri utama lain yang turut menjadi tumpuan termasuklah Virtual Pacer, Race Achievement Prediction dan Track Run Mode. Pengguna boleh menggunakan kesemua ciri berkenaan supaya dapat berlari dengan baik, dalam masa sama kekal cergas. Seterusnya jam tangan ini turut menyertakan kebolehan GPS yang tepat menerusi sokongan L1 + L5 GPS terbina.

Selebihanya ciri kesihatan dan kecergasan standart juga disediakan. Ianya merangkumi pemantauan kadar degupan jantung, pemantauan pola tidur, SpO2, tekanan harian dan lebih 150 mod sukan terbina. Bateri 440mAh yang digunakan pula boleh menawarkan ketahanan maksimum mencapai 14 hari penggunaan. Ia turut melepasi penarafan kalis air 5ATM, di samping turut mempunyai bluetooth bagi tujuan panggilan bluetooth.

Bergerak kepada Amazfit Cheetah (Round) pula, kebanyakan perkakasan dalamannya adalah sama dengan variasi Pro. Namun sokongan skrin 1.39″ AMOLED beresolusi 545 X 454 piksel mula menampakkan perbezaan ketara, yang mana ianya lebih kecil berbanding versi pro. Seterusnya jam tangan juga tidak mempunyai mikrofon dan pembesar suara terbina yang semestinya tidak menyokong panggilan bluetooth. Dalam pada itu sokongan WiFi terbina juga tidak disediakan.
Bagi harga jualan, Cheetah Pro dijual pada $ 300 (~RM1394) sementara itu Cheetah (Round) pula berharga $230 (~RM1,069) Tiada maklumat mengenai ketersediaannya di Malaysia yang diketahui buat masa ini.