Carian
Kapal Selam Membawa Pelancong Ke Titanic Disahkan Telahpun Meleduk Pada Hari Pertama
June 23, 2023 Effi Saharudin

Drama kehilangan kapal selam Titan yang membawa pelancong ke Titanic berakhir pagi ini apabila Penjaga Pantai Amerika Syarikat (USCG) mengesahkan penemuan bangkainya di lantai laut. Berdasarkan puing-puing yang bertaburan, USCG percaya Titan meleduk kerana tekanan laut yang mencecah 380 kali ganda lebih tinggi berbanding tekanan atmosfera. Kelima-lima anak kapal kini disahkan meninggal dunia.

Kapal Selam Titan – Gambar oleh OceanGate

Puing ditemukan oleh sebuah ROV daripada kapal Horizon Arctic yang melakukan pencarian sejak semalam. Pada peringkat awal kon buritan kapal Titan ditemukan 1700 kaki dari bahagian haluan Titanic sebelum lebih banyak serpihan lagi ditemukan. Dua ROV kini sedang melakukan proses pemetaan medan serpihan Titan bagi tujuan siasatan apakah sebenarnya berlaku yang menyebabkan tragedi ini berlaku.

Sejak ia dilaporkan hilang pada pagi Ahad waktu tempatan, muncul pelbagai laporan OceanGate yang membina Titan disaman bekas jurutera kerana tingkap yang digunakan tidak direka untuk pergi ke kedalaman melebihi 1300 meter (bangkai Titanic terletak pada kedalaman 3800 meter). Proses pensijilan dan keselamatan juga tidak dilakukan oleh OceanGate walaupun selepas dinasihatkan sejak 2018.

Kapal Selam Titan – Gambar oleh OceanGate

Sementara itu menurut laporan Wall Street Journal, nasib lima anak kapal Titan sebenarnya telahpun diketahui oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) sejak hari pertama lagi. Rangkaian sonar dan sensor pengesanan kapal selam (SOSUS) mengesan bunyi letupan di bawah laut pada hari Titan dilaporkan hilang. Tidak diketahui mengapa USN tidak berkongsi maklumat ini dengan pasukan mencari dan menyelamat yang kemudiannya bergegas ke lokasi Titan.

SOSUS atau nama panjangnya Sound Surveillance System ialah rangkaian sensor yang dibina selepas Perang Dunia Kedua bagi mengesan kehadiran kapal selam Soviet di lautan Atlantic. Bermula dengan sistem hidrofon bawah laut, ia kini mempunyai rangkaian sensor yang lebih moden untuk mengesan kapal selam yang kini semakin senyap ketika melakukan operasi.

Komen