Vivo Y36 4G telah dilancarkan secara rasmi sekaligus melengkapkan lagi produk berkenaan. Perkakasan dalaman sebahagian besarnya sama dengan variasi 5G namun cip Snapdragon 680 yang digunakan mula menampakkan perbezaan ketara. Bukan itu sahaja, gabungan memori serta storan juga lebih kecil dengan 8GB RAM/128GB ROM.
Ciri-ciri lain yang melengkapi peranti ini termasuklah skrin LCD FHD+ sebesar 6.64-inci yang juga menyokong kadar segar semula 90Hz. Peranti juga mempunyai sistem dwi-kamera 50MP (utama) + 2MP (bokeh), manakala kamera swafoto pula sebesar 16MP.
Bateri 5000mAh turut disertakan dengan sistem pengecasan berwayar 44W. Penarafan kalis air IP54 dan sistem imbasan cap jari sisi juga digunakan pada peranti bagi tujuan pelindungan serta sekuriti. Peranti ini dijual di India pada INR16999 (~RM968) dengan pilihan warna Meteor Black dan Vibrant Gold.
Masih tidak dapat dipastikan sama ada peranti ini bakal ditawarkan di Malaysia atau sebaliknya memandangkan variasi 5G baru sahaja diumumkan tempoh hari. Anda yang berminat boleh mendapatkan Vivo Y36 5G dengan harga RM1,099 sebuah.