Carian
Razer Skins Dilancarkan – Pelekat Vinil Pesaing Dbrand
June 23, 2023 Fahim Zahar

Terdapat pelbagai cara untuk melindungi tubuh peranti yang anda miliki. Selain kerangka pelindung, pelekat vinil adalah pilihan terbaik untuk melindungi tubuh peranti. Antara yang popular di pasaran adalah Dbrand yang popular di kalangan peminat gajet. Terbaru Razer Skins telah dilancarkan sebagai pesaing kepada Dbrand.

Seperti Dbrand, Razer turut menggunakan pelekat vinil 3M yang tahan lasak serta gam yang tidak akan meninggalkan kesan pada tubuh peranti. Razer Skins buat masa ini dilihat menawarkan pelekat untuk Razer Blade, MacBook, Steam Deck, Xbox Series X/S, PlayStation 5, Razer Edge dan Razer Kishi V2. Konsol lain seperti Nintendo Switch akan ditawarkan di masa akan datang.

Razer mendakwa yang pelekat mereka adalah anti-calar, nipis, mempunyai tekstur unik dari lebih 10 rekaan dan boleh dipasang tanpa memerlukan pengering rambut. Harga jualan dilihat bermula dari $19.99 (~RM93.47) dan mencapai sehingga $84.99 (~RM397.41). Jualan dilihat terhad di Amerika Syarikat sahaja dan tidak pasti sama ada akan dijual di Malaysia atau pun tidak.

Komen