Mini LED ialah panel yang kini digunakan pada komputer riba seperti MacBook Pro baharu dan dilihat sebagai teknologi yang berada di antara OLED dan LED. Kerana ia masih lagi baharu, TV dan monitor dengan teknologi ini dijual pada harga yang tinggi. RedMagic 4K Gaming Monitor ialah monitor gaming degan teknologi Mini LED pertama kami ulas di Amanz. Ini menimbulkan persoalan adakah ianya berbaloi ataupun tidak? Ini ulasan penuh untuk RedMagic 4K Gaming Monitor.
SPESIFIKASI Dan REKAAN
RedMagic 4K Gaming Monitor | |
---|---|
Skrin | 27″ Mini LED, 3840 x 2160 pixel, 16:9, 160Hz |
Sokongan Warna | 1.07 Bilion warna 99% Adobe RGB, 99% SRGB, 99% DCI-P3 DisplayHDR 1000 |
Nisbah Kontras | 1000 : 1 |
Kecerahan | 1300 cd/m² |
Masa Tindak Bala | 1 ms (GTG) |
Sokongan Paparan Adaptif | NVIDIA G-Sync AMD FreeSync |
Cagak | VESA |
I/O | 2x HDMI 2.1 1x Display Port 1.4 1x USB-C 1x Bicu audio 3.5mm |
Audio | Tiada |
USB | 1x USB 3.0 2x USB 2.0 |
Kamera Web | Tiada |
Harga | RM 3999 |
SKRIN
Skrin hanya sebesar 27″ dengan panel Mini LED beresolusi 4K. Skrin bernisbah tradisional 16:9 dengan kadar segar semula pula sehingga 160Hz yang cukup tinggi untuk sebuah monitor gaming. Terdapat sokongan untuk NVIDIA G-Sync da AMD FreeSync yang mematikan isu grafik terkoyak atau berkelip-kelip tidak akan berlaku. Panel juga boleh boleh mencapai keterangan puncak 1300 nits yang melepasi piawaian VESA Display HDR 1000.
Spesifikasi yang amat impresif khususnya bagi golongan yang memiliki PC spesifikasi yang tinggi. Cuma terasa sedikit rugi panel 4K digunakan pada skrin 27″. Keperincian 4K tidak begitu jelas kelihatan dan ini adalah sebab mengapa biasanya hanya panel QHD sahaja digunakan untuk skrin bersaiz bawah 30″. Namun begitu bagi mereka yang mahukan 4K sepanjang masa, monitor ini tidak mempunyai masalah memenuhi keperluan ini.
Monitor mempunyai tiga sisi bezel yang nipis dan satu bezel tebal di bahagian dagu. Rekaan yang masih cantik dan selari dengan monitor lain di pasaran Malaysia. Yang aneh adalah satu lagi dagu besar di bahagian bawah yang nampak tidak kongruen dengan rekaan lain monitor. Kami tidak tahun mengapa dagu besar ini wujud. Ia berlampu yang sekadar menjadi petanda ia mempunyai kuasa elektrik. Pada monitor lain, sebuah lampu LED kecil sudah memadai untuk fungsi yang sama.
Skrin disambungkan kepada tapak yang mempunyai leher yang boleh di pusing menegak 90 darjah, di dongak ke atas, leher berpusing dan ketinggian boleh dinaikkan atau diturunkan. Terdapat sebuah sensor graviti yang mengesan apabila monitor diubah dari kedudukan menegak ke mendatar dan sebaliknya. Pengguna tidak perlu mengubah orientasi skrin secara manual menerusi menu Display Settings komputer. Kebebasan leher monitor ini boleh diubah adalah setanding dengan majoriti monitor gaming seperti siri Predator X misalnya.
Leher disambungkan ke tapak dengan rekaan tripod dengan tiang menegak itu sendiri menjadi kaki ketiga. Ianya stabil dan tidak memerlukan tapak meja yang luasa. Pada leher yang sama terdapat lubang untuk menguruskan pelbagai kabel (kuasa, HDMI, USB-C atau DP) supaya nampak lebih kemas. Sebuah tempat meletak fon kepala juga diletakkan pada tiang tapak dengan ia boleh disimpan apabila tidak digunakan.
Pilihan I/O ialah 2x HDMI 2.1, 1x DP 1.4, 1x USB-C, 2x UBS 2.0, 1x USB 3.0, dan 1x bicu audio 3.5 mm. Harus kami katakan kedudukan I/O di dalam sebuah “parit” yang agak dalam di belakang dagu besar monitor ini membuatkan proses sambungan kabel sedikit sukar. Mengapa rekaan ini digunakan oleh RedMagic ia menjadi misteri. Tidak pernah dalam sejarah kami menggunakan PC kami mahukan akses yang sukar kepada I/O.
Akhir sekali di belakang terdapat sistem lampu RGB dalam konfigurasi tiga segi. Pada bahagian belakang juga diletakkan butang kawalan monitor. Satu butang khas untuk HDR, satu untuk mengakses menu, satu untuk menukar input dan satu lagi untuk mengaktifkan mod gaming. Kesemua butang diperbuat daripada bahan plastik licin,.
Kualiti Visual Dan Perisian
Prestasi grafik adalah memuaskan jika anda memiliki komputer yang boleh mencecah kadar bingkai yang tinggi. Monitor ini kami gunakan bersama sebuah PlayStation 5, Xbox Series X, Acer Predator Helios 18 dan MacBook Air M2. Kesemua sambungan input dapat dikesan secara automatik oleh monitor pada resolusi paling tinggi. Isu hanya berlaku pada Helio 18 dimana nisbah skrin yang dipaparkan tidak tepat menyebabkan visual kelihatan penyek. Tidak tahun kena isu ini berlaku kerana ia terlalu rawak.
Paparan HDR juga cukup terang dibantu oleh kandungan yang natif 4K. Kami memainkan beberapa video daripada Netflix dan Disney+ Hostar dan kesemuanya nampak menarik. Dapat dilihat perbezaan apabila mod HDR diaktifkan dengan menekan butang di bahagian belakang monitor. Cuma kami ada menyedari sedikit kesan “blooming” pada kawasan terang. Ia tidaklah membuatkan prestasi skrin ini teruk tetapi bagi sebuah monitor yang premium, kami mahukan kesempurnaan dicapai.
Bercakap mengenai kesempurnaan, kami lebih merasakan isu OSD dan butang kawalan adalah lebih kurang menyenangkan. Kurang menyenangkan kerana butang terasa terlalu plastik dan murahan. Penggunaan sistem multi-butang dan bukannya tombol berputar (yang digunakan monitor Predator dan Samsung) juga membuatkan penggunaan monitor ini terasa agak arkaik.
Proses mengubah tetapan warna, sensor, tetapan gaming dan banyak lagi memerlukan kami memasuki senarai menu yang bertingkat-tingkat. Ini ialah rekaan OSD monitor dari dekad terdahulu dan sepatutnya tidak digunakan pada monitor moden dengan panel Mini LED terkini.
Lebih ramai pengeluar sepatutnya menyedari bahawa perisian pada monitor juga sama pentingnya dengan jenis panel, kualiti panel dan rekaan lain. Ini amat penting lebih-lebih lagi bagi sebuah monitor yang harga jualannya jatuh ke dalam kategori premium.
AUDIO
Tiada speaker langsung yang kami rasakan agak mengecewakan kerana secara lazimnya speaker 2W disertakan. Yang ada hanyalah bicu audio yang kami sebutan di awal ulasan ini. Mungkin RedMagic merasakan lebih baik tidak menyertakan speaker langsung daripada memberi speaker murahan yang tidak memuaskan langsung.
DALAM KOTAK
Berikut adalah kandungan dalam kotak apabila RedMagic 4K Gaming Monitor dibeli.
- Monitor RedMagic 4K Gaming Monitor
- Tapak monitor
- Kabel kuasa.
- Kabel USB-C
- Kabel HDMI
- Kabel DP
- Manual.
KESIMPULAN
RedMagic 4K Gaming Monitor ialah paparan yang sangat baik dan memuaskan bagi golongan gamer yang memerlukan sokongan kadar segar semula tinggi, skrin yang terang, paparan warna yang baik dan kebebasan melaraskan monitor yang cukup baik. Ia mempunyai panel 4K yang tidak mengecewakan kerana paparan warna yang cukup hidup. Menerusi sokongan FreeSync dan G-Sync, dua format popular mengelakkan isu “skrin koyak” dapat diselesaikan.
Isu yang ada ialah akses kepada pelbagai I/O yang agak terhad, tiada speaker dan perisian monitor yang kurang mesra pengguna. Pada harga RM3999 sebuah ia juga dijual pada harga yang amat premium. Tetapi ini tidak mengejutkan kerana ia dari jenis Mini LED. Mahukan panel terbaik maka poket anda perlulah tebal. Yang pasti jika dibeli anda akan puas hati dengan kualiti.
Pro
- Paparan yang terang, tajam dan paparan warna yang baik.
- Sokongan NVIDIA G-Sync dan AMD FreeSync.
- Monitor mudah dilaras sudut, pusingan dan ketinggiannya.
- Sokongan HDR sebenar.
- Kadar segar semula yang tinggi.
Kontra
- Tiada speaker.
- Perisian monitor dan sistem kawalan kurang mesra pengguna.
- Akses kepada I/O yang sukar.