Nampaknya imej pengolokan Nothing Phone (2) yang tertiris sebelum ini adalah tidak benar. Malam tadi Nothing secara rasminya mengacah rekaan telefon pintar generasi kedua mereka bersama dengan ciri baharu yang bakal tiba bersama Nothing OS 2.0.
Ciapan ini lebih memfokuskan ciri Glyph Composer iaitu kemampuan mencipta nada dering sendiri yang turut akan memberi kesan kepada sistem lampu Glyph. Nothing bekerjasama dengan Swedish House Mafia iaitu kumpulan muzik yang terkenal dengan muzik elektronik.
Dalam video pendek yang dikongsi rekaan lampu Glyph baharu turut kelihatan. Ia masih lebih kurang sama dengan Phone (1) cuma setiap jalur LED kini putus-putus. Bukan itu sahaja, rekaan peranti turut boleh dilihat yang mana di keliling peranti dan skrin masih rata. Pada skrin hadapan jelas kelihatan yang kamera swafoto kini adalah pada bahagian tengah atas.
Perubahan lain yang didedahkan dalam video adalah panel belakang yang mungkin sedikit melengkung. Nothing Phone (2) akan dilancarkan pada 11 Julai tidak lama lagi. Setakat ini informasi yang telah didedahkan adalah saiz skrin 6.7″, cip Snapdragon 8+ Gen 1, bateri 4700 mAh dan sokongan kemas kini sehingga tiga versi Android. Sama-sama kita nantikan.