Carian
Ini Adalah Rekaan Oppo Reno10 Pro+ 5G Untuk Pasaran Tempatan
June 29, 2023 Amy Maizuraa

Perasan atau tidak, peranti di bawah siri Reno bakal menerima penawaran baharu menerusi Reno10 Pro+ 5G. Tarikh pelancaran masih menjadi tanda tanya, namun ia boleh berlangsung dalam masa terdekat memandangkan Oppo juga begitu aktif mengacah mengenainya secara terbuka.

Bagaimanapun, kami telah diberi akses awal bagi melihat peranti dengan lebih dekat. Tetapi seperti biasa, perkongsian hanya memberi fokus terhadap reka bentuk semata-mata. Sementara itu butiran penuh bakal menyusul kemudian.

Bermula dengan sesi nyahkotak, anda akan mendapat kotak pembungkus dengan visual yang lebih kurang sama dengan Oppo Reno8 T sebelum ini. Kotak berwarna perak digunakan sepenuhnya kemudiannya dipadankan pula dengan tulisan berwarna hitam.

Antara barang yang terkandung di dalam kotak pembungkus ini termasuklah telefon pintar, kerangka silikon lutsinar, pencungkil SIM, kepala pengecas, kabel USB A ke USB C berwarna putih dan manual pengguna. Oppo juga dilihat tidak menyediakan sebarang dongel tambahan bagi tujuan sambungan.

REKAAN

Sekarang saya akan menyentuh mengenai reka bentuk pula. Oppo Reno10 Pro+ adalah peranti menarik dengan binaan yang baik. Secara peribadi saya berpendapat ia tidaklah terlalu berat mahupun ringan, sekaligus menjadikan pengalaman penggunaan terasa memuaskan. Bertambah baiknya lagi apabila saya boleh mengendalikannya dengan sebelah tangan tanpa sebarang masalah.

Namun berbeza pula ceritanya apabila saya meletakkan peranti ini di dalam poket seluar yang mana mula menimbul rasa yang kurang selesa. In disebabkan oleh saiznya yang memanjang lalu mengakibatkan peranti tersembul terkeluar daripada poket.

Bahagian belakang menggunakan kemasan berkilat yang menawan khususnya peranti yang berwarna ungu, atau nama rasminya adalah Purple. Kemudian binaan berasaskan kaca yang digunakan juga telah menjadi nilai tambah pada peranti ini.

Dipuji kerana cantik memang menyenangkan, tetapi anda harus berkompromi dengan isu mudahnya memerangkap kotoran cap jari dan terdedah dengan pelbagai isu, lagi-lagi hentakan secara terus.

Seterusnya sistem tri-kamera masih dikekalkan, tetapi kini wujudnya bonggol yang besar dan tebal yang menampakkan perubahan amat ketara. Anda mungkin mengatakan rekaan bonggol kamera Reno10 Pro+ kelihatan pelik, namun apa yang menjadi perhatian adalah kembalinya kanta telefoto pada peranti siri Reno. Ciri yang yang diberikan ini membuatkan peranti boleh mengambil gambar dari jarak yang jauh. Malah turut boleh dianggap menarik memandangkan kali terakhir kita melihat kanta seperti ini digunakan adalah pada model Reno10x Zoom.

Peranti juga disertakan dengan cip MariSilicon X yang sudah semestinya mampu meningkatkan pengalaman fotografi dengan perspektif yang sama sekali berbeza dan kreatif. Kebolehan cip ini juga telah kita lihat menerusi beberapa model terdahulu seperti Find X5 Pro dan Reno8 Pro, yang mana masing-masing boleh mengambil gambar yang indah dalam kebanyakan keadaan.

SAMPEL GAMBAR

Bagaimana pula dengan Reno10 Pro+ 5G? Hasilnya adalah seperti di bawah namun saya akan membuat ulasan lebih lanjut dalam artikel yang akan datang.

SKRIN

Skrin hadapan pula sepenuhnya melengkung pada kedua-dua sisi bersama lubang kecil yang diletakkan di tengah. Sebenarnya tidak semua orang suka akan skrin yang melengkung. Namun dari aspek positif, peranti dilihat lebih simetri dari hadapan sekaligus paparan lebih besar turut boleh digunakan dengan saiz bezel nampak nipis. Ia juga bukan suatu hal baharu, malahan sudah digunakan sejak siri Reno4 sebelum ini.

Peranti juga menggunakan pengimbas cap jari terbina bawah skrin yang amat memudahkan pengalaman menyahkunci. Sebagai pilihan, sistem imbasan wajah turut boleh digunakan untuk akses peranti yang lebih pantas.

LAGI MENGENAI REKAAN

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Sama seperti bingkai, kedua-dua butang ini juga diperbuat daripada aluminium dan tidak terasa longgar. Seperti bingkai kedua-dua butang ini diperbuat daripada logam dan ianya tidak terasa longgar. Peranti juga mempunyai pemancar infra merah di bahagian atas yang merupakan antara ciri yang sudah jarang diberikan pada sesebuah peranti pintar.

Bahagian bawah pula menempatkan pengecasan USB-C yang diapit dengan kekisi audio dan talam SIM. Ia menyokong kebolehan dwi-SIM tanpa sokongan kad mikroSD dan pembesar suara pula sejenis stereo. Kemudian sama ada perasan atau tidak, tiada lubang bicu audi 3.5mm boleh ditemui pada peranti yang bermakna akan memberi kesan terhadap pengguna yang masih mengharapkan fon telinga/kepala jenis berwayar.

Sekian sahaja serba sedikit perkongsian kami mengenai peranti baharu Oppo ini. Kehadirannya juga telah diacah secara rasmi oleh Oppo yang memberi petanda boleh berlaku dalam masa terdekat. Maklumat penuh hanya akan didedahkan selepas dilancarkan kelak, termasuklah harga jualan rasmi. Seperti biasa, kekal dengan kami di Amanz untuk kemas kini selanjutnya.

Komen