Carian
Pandang Pertama HONOR 90 – Satu Lagi Peserta Perang 200MP
June 28, 2023 Fahim Zahar

HONOR 90 adalah peranti kelas pertengahan premium baharu yang telah pun dilancarkan di China bulan lepas. Peranti ini turut disahkan akan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. HONOR 90 telah pun tiba ke makmal Amanz dan saya telah pun menggunakan peranti ini untuk beberapa jam. Dalam artikel ini akan saya kongsikan kepada anda pendapat awal saya adakah ini peranti yang patut anda beli tahun ini?


SPESIFIKASI

HONOR 90 5G
Skrin6.7″ AMOLED Quad Curved Floating Display,
2664×1200, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 7 Gen 1 Accelerated Edition (4nm)
Cip1x 2.5 GHz Cortex-A710
3x 2.36 GHz Cortex-A710
4x 1.8 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 644
RAM12 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman512GB UFS 3.1
Kamera Utama200MP Ultra Clear Camera, f/1.9, sudut lebar
12MP, f/2.2, sudut ultra lebar/makro
2MP, f/2.4, sensor kedalaman
AI Vlog, HDR Enhancement, AI Video
Kamera Depan50MP, f/2.4
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 66W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano / 5G
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanDi China 12/256 GB sekitar RM1600
(Tiada 12/512 GB di China)

SKRIN

Skrin 6.7-inci AMOLED dengan resolusi 2664×1200 piksel, menyokong kadar segar semula 120Hz, boleh memainkan kandungan HDR10+ di Netflix dan Prime Video, menyokong suhu warna dan mod malam Circadian. HONOR turut menegaskan yang skrin mereka turut lebih selamat dan sihat untuk mata pengguna kerana menerima pengiktirafan TUV Rheinland dengan sokongan bebas berkelip.

Dari segi warna, skrin HONOR 90 cukup cantik dan menarik. Ia selari dengan kebanyakan peranti kelas pertengahan lain. Kecerahan juga cukup memuaskan dengan kawalan manual boleh mencapai sehingga 1600 nits. Menggunakan peranti di bawah cahaya matahari terik tidak akan menjadi masalah dan walaupun peranti tidak menggunakan skrin LTPO, 120Hz masih pantas dan laju.

Sedikit mengecewakan yang video 2160p 60FPS HDR tidak boleh dimainkan di YouTube, hanya 1440p 60FPS HDR sahaja yang lancar. Walau bagaimanapun video HDR di Netflix tidak ada masalah untuk dimainkan.

REKAAN

HONOR 90 sekali pandang kelihatan menggunakan rekaan yang klise. Tetapi jika diteliti rekaan peranti ini sebenarnya cukup unik. Dua bonggol kamera di belakang kelihatan seperti sepasang mata yang menegak. Kemudian untuk unit saya yang berwarna Peacock Blue panel belakang menggunakan corak seakan bulu burung merak dengan warna cerun yang berubah warna mengikut cahaya yang disuluh pada tubuh peranti.

Skrin melengkung jelas sekali dipilih untuk menampakkan lagi ciri sebuah peranti premium. Bezel yang tidak begitu nipis tetapi cukup sekata dan kandungan yang dipaparkan tidak mengganggu penggunaan. Terdapat lubang pada tengah atas untuk kamera swafoto. Betul-betul di bahagian bezel atas ada kekisi untuk ganggang telefon.

Di atas peranti pula terdapat lubang mikrofon, satu lagi lubang sama di bahagian bawah bersama-sama dengan kekisi speaker, slot kad SIM dan port USB-C. Sisi kanan peranti dilengkapi dengan semua butang kuasa dan butang laras suara sementara tiada apa-apa di sisi kiri.

HONOR 90 menawarkan tiga pilihan warna di Malaysia. Setiap warna mempunyai corak berbeza seperti Emerald Green dengan warna cerun hijau dengan kemasan kusam dan warna Diamond Silver pula seakan dwi-tona kosong di atas, di bawah corak seakan kain songket dengan tekstur yang timbul.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Seperti peranti HONOR lain di Malaysia, HONOR 90 juga menjalankan MagicOS 7.1 berasaskan Android 13. Tidak dinafikan secara keseluruhan pengalaman penggunaan masih mirip menggunakan peranti EMUI dari Huawei. Walaupun begitu MagicOS dilengkapi dengan aplikasi-aplikasi dan perkhidmatan Google serta turut cuba mengintegrasikan banyak ciri Android stok.

Pada hemat saya mereka yang biasa menggunakan peranti EMUI atau peranti HONOR sebelum ini akan mudah untuk menerokai ciri dan fungsi menarik HONOR berikan dalam MagicOS. Rekaan antaramuka adalah ke arah warna-warni dan ceria. Pengalaman penggunaan pula cukup menarik, pantas dan lancar.

Prestasi setakat penggunaan untuk beberapa jam cukup menarik dan ia adalah apa yang saya jangkakan untuk peranti HONOR dengan cip Snapdragon 7 Gen 1 (SD7G1). Menurut HONOR Malaysia, SD7G1 yang digunakan adalah versi Accelerated Edition 5G yang lebih pantas dan efisien. Tetapi saya hanya boleh kongsi lanjut mengenai prestasi di ulasan akan datang.

Ciri-ciri dan pelbagai fungsi menarik yang saya gemar pada peranti ini adalah seperti berikut;

  • HONOR Connect & HONOR Share
    • Tambatan pantas dengan produk HONOR lain dan ciri perkongsian fail yang efisien untuk antara peranti HONOR.
  • Mod paparan Circadian
    • Suhu warna dan mod malam paparan yang mengikut piawaian Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).
  • Smart Resolution
    • Resolusi skrin pintar yang berubah mengikut kandungan untuk menjimatkan bateri peranti. Boleh berubah dari 1998 x 900, 2442 x 1100 dan ke 2664 x 1200.
  • Rhythm to your heart
    • Ciri nada dering yang mengumpulkan tema seperti HONOR, Nature, Futuristic dan banyak lagi. Setiap tema lengkap dengan nada dering, bunyi mesej masuk, bunyi penggera dan bunyi notifikasi lain.
  • YOYO
    • Perkhidmatan yang dikuasakan enjin AI tersendiri. Boleh mencadangkan aplikasi dan sokongan Magic Text.
    • Magic Text adalah untuk salin teks dari gambar, tekan teks untuk akses pantas dan banyak lagi.

PENANDA ARAS

Dalam ujian penanda aras, HONOR 90 sudah mula memanas selepas sekitar 3 minit ujian dilakukan. Aplikasi penanda aras yang saya gunakan adalah seperti biasa iaitu Geekbench 6, AnTuTu 3D dan 3DMark. Cip Snapdragon 7 Gen 1 mempunyai kemampuan seakan Dimensity 7200 pada Vivo V27 dan sedikit lebih rendah berbanding Snapdragon 7+ Gen 2 yang digunakan pada Poco F5. Walaupun di atas kertas Honor 90 mempunyai kemampuan seakan iQOO Z7 dengan cip Snapdragon 782G, Z7 tewas pada AnTuTu dan 3DMark.

Peranti ini dilihat mempunyai skor yang cukup munasabah. Berikut adalah apa yang aplikasi penanda aras catatkan;

Geekbench 6

  • HONOR 90 – 942/2,783
  • Poco F5 – 1,371/4,160
  • Vivo V27 – 1,201/2,699
  • iQOO Z7 – 1,125/3,001

AnTuTu 3D

  • HONOR 90 – 647,459
  • Poco F5 – 892,358
  • Vivo V27 – 624,369
  • iQOO Z7 – 588,831

3DMark

  • HONOR 90 – 861
  • Poco F5 – n/a
  • Vivo V27 – 1,158
  • iQOO Z7 – 808

KAMERA

HONOR 90 dilengkapi dengan tri-kamera di belakang yang menggabungkan sensor 200MP Ultra Clear Camera, f/1.9, sudut lebar + 12MP, f/2.2, sudut ultra lebar/makro + 2MP, f/2.4, sensor kedalaman dan kamera swafoto 50MP. Aplikasi kamera turut dilengkapi dengan banyak ciri AI baharu seperti AI Vlog Assistant, AI Video Quality Enhancement, menyokong mod HDR tersendiri, boleh ambil gambar mod resolusi tinggi dan banyak lagi ciri menarik.

Berikut adalah beberapa sampel yang cukup cantik, terang dengan butiran terpelihara dihasilkan oleh kamera HONOR 90. Setiap warna juga naik dan nampak tajam.

Sudut ultra lebar – hampir senja
Jarak dekat auto – kurang cahaya
Mod potret

Mod malam, zum digital 2x dan swafoto potret turut memberikan hasil yang memberangsangkan. Saya amat suka warna HONOR yang ke arah warna yang mata saya nampak di dunia nyata serta fokus yang baik. Masalah timbul hanyalah ketika menggunakan kamera, viewfinder tidak memaparkan hasil sebenar.

Mod malam auto
2x zum digital
Swafoto 50MP

BATERI DAN PENGECASAN

Bateri HONOR 90 adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W HONOR SuperCharge. Teknologi pengecasan ini boleh mengecas peranti dari 0% – 60% dalam masa 20 minit. Pengecasan adalah melalui kabel USB-A ke USB-C yang mana kedua-dua kabel dan palam pengecas disediakan di dalam kotak. Dukacita dimaklumkan tiada sokongan pengecasan nirwayar atau nirwayar berbalik pada peranti ini.

APA DALAM KOTAK?

Berikut adalah apa yang ada dalam kotak untuk unit ujian HONOR 90;

  • 1x Honor 90.
  • 1x Pengecas 66W HONOR SuperCharge
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN

Setakat penggunaan untuk beberapa jam tidak banyak boleh saya dedahkan. Apa yang saya boleh kongsi adalah HONOR 90 akan menjadi salah satu peranti tahun ini yang menyertai peperangan telefon pintar dengan kamera 200MP. Skrin yang cantik, perisian yang menarik, bateri yang besar dengan pengecasan pantas dan paling penting kemampuan kamera yang dahsyat untuk sebuah peranti kelas pertengahan premium.

Menggunakan peranti ini serentak dengan satu lagi peranti yang belum dilancarkan yang turut mempunyai spesifikasi lebih kurang sama, HONOR ada pencabar sengit. Hanya harga jualan tempatan sahaja akan menentukan sama ada adakah peranti ini berbaloi dimiliki. Jika variasi 12/512 GB unit ujian saya ini yang dijual dan harga pula adalah sekitar bawah RM2500 tidak dinafikan ini adalah peranti yang patut anda beli pengalaman yang memuaskan.

Pro

  • Skrin cantik, terang dan pantas.
  • Kamera 200MP yang ada potensi tinggi.
  • Rekaan menarik dan unik.
  • Kamera swafoto 50MP.
  • MagicOS 7.1 yang padat dengan ciri/fungsi menarik.

Kontra

  • Rekaan MagicOS 7.1 yang masih mirip EMUI.
  • Pengecasan 66W tidak sepantas peranti pesaing.
  • Viewfinder kamera tidak memaparkan hasil sebenar.
Komen