Kerajaan telah memberikan kredit RM200 kepada para belia berumur 18 tahun ke 20 tahun, termasuk para pelajar IPT sejak awal minggu ini. Kredit diberikan melalui dompet digital TNG eWallet, Setel, dan juga Boost. Kerajaan memberikannya dalam usaha membantu meringankan beban para belia, dan pada masa yang sama membolehkan ia digunakan pada kedai-kedai fizikal yang menyokong DuitNow QR.

Namun, terdapat juga beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan mengeluarkan wang berkenaan dalam bentuk tunai atau pemindahan ke akaun bank. Perkara berkenaan sedia melanggar tujuan dan juga syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.
Mengulasnya lanjut, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (mantan Mufti WP), mengatakan sekiranya sesuatu pemberian diikat dengan syarat perjanjian, maka ia wajib dipatuhi. Haram hukumnya untuk individu yang menerima bantuan tersebut menggunakan wang RM200 berkenaan dengan cara yang dilarang.
Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli turut menyatakan “Syeikh al-Qalyubi memberikan peringatan terhadap permasalahan begini, beliau mengatakan bahawa apabila pemberi sumbangan memberi untuk tujuan tertentu, maka penerima tidak dibenarkan untuk menggunakan sumbangan tersebut pada tujuan lain.”. Disamping itu, syara’ juga melarang orang mu’min daripada perbuatan pecah amanah.
Bagi para penerima eBelia Rahmah, anda dinasihatkan untuk menggunakan kredit yang diterima mengikut syarat yang telah ditetapkan. Bacaan lanjut mengenai ulasan Dr. Zulkifli boleh dibaca melalui laman Maktabah Al-Bakri.