Oppo Find X6 Pro – Ini Adalah Pengalaman Kami Mencuba Kebolehan Sistem Kamera Pada Peranti
Amy Maizuraa
Tidak dinafikan kemajuan dalam bidang teknologi telah menyebabkan penghasilan pelbagai telefon pintar yang semakin canggih. Ia boleh meliputi pelbagai perkara dan salah satunya adalah sokongan sistem teknologi pengimejan mudah alih yang unik serta berorientasikan masa depan.
Bila bercakap mengenainya, Oppo merupakan antara pengeluar yang memfokuskan terhadap elemen penerokaan idea-idea baharu untuk teknologi kamera pada peranti berbanding mengeksploitasi kejayaan yang lalu. Pelbagai usaha telah diambil bagi tujuan tersebut yang turut membabitkan pelaburan besar dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi pengimejan.
Idea Penghasilan Peranti
Komitmen ini diteruskan lagi tahun ini dengan menjadikan teknologi pengimejan di telefon pintar sebagai strategi pembangunan utama mereka. Melaluinya Oppo akan memberi tumpuan kepada meningkatkan prestasi fotografi pada fokus jarak jauh yang lebih memudahkan para pengguna. Maka disinilah titik bermulanya idea untuk penghasilan peranti mercu baharu Oppo Find X6 Pro.

Sehubungan itu, kami di Amanz telah dijemput ke acara Oppo Vitality Imaging Tour yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 26 hingga 28 Jun 2023. Dalam acara ini kami diberi peluang untuk melihat sendiri segala bentuk teknologi yang disertakan pada sistem kamera Oppo Find X6 Pro.
Acara yang sama turut disertai oleh beberapa jurugambar professional dari beberapa negara bagi berkongsi pengalaman, tips serta idea untuk menghasilan foto yang cantik dan estetik. Tetapi sebelum bercerita lanjut mengenai ciri dan fungsi menarik pada peranti, ada baiknya jikalau kami berkongsi dahulu secara terperinci setiap butiran sistem kamera yang digunakan.

Oppo Find X6 Pro mempunyai perkakasan kamera yang mengagumkan. Ia menggunakan tri-kamera di belakang dengan tetapan kamera utama 50MP 1″ (sensor Sony IMX989, OIS). Kemudian disokong pula dengan 50MP Sony IMX890, OIS untuk ultra lebar dan makro dengan jarak fokus 4cm.
Kamera ketiga pula 50MP telefoto periscope (Sony IMX890) dengan zum optikal 3X dan digital sehingga 120X. Pengalaman bertambah baik lagi dengan adanya sistem kamera Hasselblad, serta cip MariSilicon X untuk meningkatkan kualiti foto dan video.
Berikut kami kongsikan fungsi fotografi menarik yang terdapat pada Find X6 Pro:
1 – Tri-kamera 50MP
Secara peribadi, kamera dilihat boleh merakam gambar dengan baik dalam kebanyakan keadaan, sama ada terang mahupun gelap. Turut boleh dilihat, padanan warna yang konsisten dan perincian cukup baik juga boleh ditemui menerusi beberapa gambar yang dilampirkan. Begitu juga dengan hasil gambar ultra-lebar masih baik, yang kemudiannya sensor turut boleh digunakan untuk tangkapan gambar makro.





Bagi objek yang jauh pula, kamera telefoto 50MP menyediakan kebolehan zum optikal 3X, hibrid 6X dan zum digital sehingga 120Hz. Saranan zum yang baik hanyalah sehingga 30X, selebihnya kurang memuaskan dengan hasil gambar yang kabur dan hingar. Bukan itu sahaja paparan viewfinder juga mula kelihatan terhuyung-hayang sehingga sukar untuk melakukan framing tanpa penggunaan tripod.


2 – Portrait Mode
Kamera Oppo Find X6 Pro juga boleh mengambil mod potrait dengan tiga pilihan tahap zum, sama ada 1X, 2X atau 3X. Hasilnya adalah memuaskan dengan padanan warna yang baik dan hingar juga minima. Bukan itu sahaja, kesan bokej juga nampak semula jadi.


3 – Video 4K Dolby Vision
Tiada juga sokongan 8K sebaliknya format rakaman video disokong hanya 4K/60FPS dengan penstabilan terbina. Kelebihan lain turut boleh ditemui apabila peranti juga menyokong rakaman video Dolby Vision. Ia bagaimanapun hanya terhad pada tetapan 4K/30fps dengan pilihan zum yang boleh mencapai 6X.
Dengan rakaman Dolby Vision, video dengan warna yang terang dan padanan kontras lebih baik boleh dihasilkan. Bukan itu sahaja, penghasilan warna hitam juga akan benar-bernar hitam. Selain terdapat juga butiran yang ditambahbaik secara langsung dalam menjadikan imej lebih jelas.
4 – Ultra-Steady Mode
Kami mencuba mod ini dengan merakam video dalam keadaan bergegar yang amat teruk. Kalau tidak silap, waktu ini dalam perjalanan turun dari Gunung Payung Beach dengan menaiki lori. Namun kami mendapati hasil rakaman video nampak elok sahaja. Sebab apa? Sebab kamera Find X6 Pro mempunyai ciri Ultra Steady Video yang telah wujud sejak peranti Reno2 lagi. Tetapi perli juga kami nyatakan bahawa ciri ini hanya menyokong pada mod rakaman sehingga 1080P/30fps sahaja. Kemudian ini turut ditambah pada kamera swafoto bagi tujuan membuat kandungan video lebih mudah.
5) X Pan Mode
Ia merupakan mod fotografi yang diketengahkan oleh Oppo dan Hasselblad sejak Oppo Find X5 Pro lagi. Kami boleh klasifikasikan ia sebagai sesuatu yang unik kerana membolehkan penghasilan semula fotografi gaya Hasselblad dalams bebuah telefon pintar. Gambar yang diambil menunjukkan nisbah yang luas untuk sebuah karya kreatif menarik. Lain-lain ciri fotografi yang turut disertakan pada peranti termasuklah Night Mode, Panorama, Movie, Slo-Mo, Time Lapse, Long Exposure, Dual-View Video, Sticker, AI ID Photo dan Text Scanner.


Namun perlu anda tahu bahawa Oppo tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membawa masuk mana-mana peranti Find X6 ke pasaran global, termasuk di Malaysia. Hal ini kerana Oppo mengambil pendekatan lebih tertumpu pada segmen peranti boleh lipat, bagi memberi pengalaman lebih baik kepada pengguna global.Justeru itu, Oppo telah memutuskan untuk menumpukan usaha-usaha yang positif bagi mengukuhkan lagi segmen tersebut. Sekaligus memastikan target pengguna mendapat manfaat yang sepatutnya.
Bagaimanapun Oppo mempunyai kejutan lain apabila dalam perancangan hadir dengan peranti baharu di bawah siri Reno. Katanya telefon tersebut juga mempunyai sistem kamera dengan ciri yang hampir serupa dengan Find X6 Pro. Sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya pada 6 julai akan datang bagi melihat lebih lanjut mengenai penawarannya, termasuklah harga jualan rasmi.