Nokia G42 5G telah dilancarkan secara rasmi selepas tertiris menerusi beberapa sumber. Ia diposisikan peranti kelas pertengahan yang dijana dengan cip Snapdragon 480+. Konsep yang sama seperti Nokia G22 masih dikekalkan dengan penggunaan bahan plastik kitar semula yang juga mudah diperbaiki oleh pengguna.
Seterusnya skrin adalah sejenis IPS LCD HD+ yang menyokong kadar segar semula 90Hz. Ini dipadankan pula dengan rekaan bertakuk kecil yang menempatkan kamera swafoto 8MP. Sementara itu kamera utama pula terdiri dengan 50MP (utama) + 2MP (makro) + 2MP (kedalaman).
Pilihan memori pula 6GB RAM dengan kebolehan RAM maya sehingga 6GB RAM dan storan dalaman terbina 128GB. Peranti juga menjalankan Android 13 bersama sokongan kemaskini sistem sehingga 2 tahun dan sekuriti 3 tahun diberikan.
Turut melengkapi peranti adalah bateri 5,000mAh dengan pengecasan 20W dan pengimbas cap jari bagi tujuan sekuriti. Selain itu peranti juga mempunyai kalis air IP52, sambungan USB-C dan bicu audio 3.5mm.