China Lawan Sekatan Amerika Dengan Mengehadkan Eksport Galium Dan Germanium Untuk Penghasilan Cip
Aman
Pelbagai syarikat China terkesan dengan sekatan cip pemprosesan oleh Amerika Syarikat. Kini, China mengorak langkah membalas, dengan mengenakan halangan eksport untuk dua bahan logam utama dalam penghasilan semikonduktor, iaitu galium dan germanium. Kedua-dua bahan ini juga digunakan dalam penghasilan kenderaan elektrik dan juga telekomunikasi.
China akan mengenakan sekatan dagangan ini bermula 1 Ogos 2023 kelak. Mereka yang terlibat dalam pengeksportan kedua-dua jenis logam ini perlu mendapatkan lesen terlebih dahulu sebelum menghantar ia keluar dari China. Pada masa yang sama, maklumat seperti pembeli dan tujuan penggunaan logam berkenaan perlu dinyatakan kepada pihak berkuasa.
China pada hari ini menghasilkan 94% pengeluaran galium dunia, yang mana sangat kritikal dalam industri teknologi tinggi. Penghasilan bahan logam di China adalah lebih murah berbanding lokasi lain. Halangan oleh China ini dijangka akan memberikan peningkatan kos pada harga cip dan sebagainya.
Sebelum ini, terdapat desas-desus menyatakan Amerika Syarikat akan melanjutkan halangan dagangan terhadap China, termasuk menghalang cip untuk kecerdasan buatan, dan sebagainya.
[sumber]Bloomberg[/sumber]
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.