Rekaan sebenar Nothing Phone (2) akhirnya didedahkan dalam satu video. Walaupun menurut Carl Pei rekaan Phone (2) berbeza dengan Phone (1), video yang dimuat naik oleh MKBHD ini jelas memperlihatkan persamaannya dengan perubahan drastik hanya pada sistem lampu Glyph.

Phone (2) dilihat menggunakan rekaan panel belakang yang melengkung. Saiz juga kelihatan lebih besar mengesahkan skrin 6.7″ yang digunakan. Rekaan Glyph juga kelihatan sedikit berbeza dengan setiap jalur LED kini putus-putus dan tidak bersambung. Lampu LED merah untuk indikasi rakaman video diubah menjadi jalur dari titik. Suis fizikal juga kelihatan tetapi masih tidak pasti apakah fungsi sebenarnya.


Nothing sekali lagi memfokuskan kepada sistem lampu LED Glyph mereka. Pada Phone (2) menurut MKBHD kini mempunyai 33 zon LED berbanding 12 zon pada Phone (1). Satu jalur melengkung mempunyai 16 zon untuk ciri lebih pintar seperti lampu bergerak mengikut aras suara, mengikut pemasa yang berjalan, atau juga status Uber. Satu jalur di hujung atas kini boleh ditetapkan sebagai lampu khas untuk notifikasi aplikasi kegemaran.
Spesifikasi lanjut Nothing Phone (2) masih belum didedahkan. Sampel kamera walau bagaimanapun telah muncul di Twitter memperlihatkan penambahbaikan dari segi HDR dan warna yang lebih tajam. Pelancaran peranti ini akan berlangsung pada 11 Julai, sama-sama kita nantikan.