Anker Malaysia hari ini telah melancarkan dua TWS baharu di bawah siri Soundcore mereka iaitu Soundcore R50i dan Soundcore A20i. Kedua-dua produk audio ini adalah TWS kelas pertengahan asas yang menawarkan ciri premium.
Anker Soundcore R50i
Soundcore R50i hadir dengan pemacu audio 10mm yang memfokuskan kepada kejelasan audio, muzik K-Pop dan juga muzik Rock ‘n Roll. TWS ini boleh dikawal dengan aplikasi Soundcore yang menawarkan 22 preset equaliser. Pengguna turut boleh mengubahsuai untuk profil audio yang mengikut citarasa sendiri. R50i sedia menyokong ciri mencari TWS dengan Find My Earbuds, mempunyai ketahanan mencapai bateri 10 jam penggunaan berterusan, boleh bertahan sehingga 30 jam dengan kerangka pengecas dan 10 minit pengecasan bertahan selama 2 jam.
Soundcore R50i dilengkapi dengan dua mikrofon yang dikuasakan dengan algoritma kecerdasan buatan untuk suara yang lebih jelas. Sambungan adalah dengan Bluetooth 5.3, kawalan fon telinga adalah sentuhan dan TWS ini turut mempunyai pengiktirafan kalis percikan IPX5.
Rekaan R50i kelihatan mirip dengan Galaxy Buds2 Pro kecuali pada tangkai fon telinga yang lebih panjang. Harga jualan adalah RM119, tetapi sempena pelancaran ia dijual pada harga RM109 dan hanya warna putih yang dijual di Malaysia.
Anker Soundcore A20i
Soundcore A20i pula hadir dengan pemacu audio yang lebih kecil iaitu 6mm. Bateri pula hanya bertahan sehingga 9 jam jika digunakan secara berterusan dan 28 jam dengan kerangka pegecas. Ciri dan fungsi lain adalah sama dengan R50i termasuk perlindungan IPX5. Rekaan juga berbeza yang lebih ke arah TWS Jabra Elite 85t.
Harga jualan bagi A20i adalah RM99 dengan pilihan warna hitam, putih dan ungu. Sempena pelancaran TWS ini boleh dibeli pada harga RM77.