Carian
Ulasan OnePlus Nord 3 5G – Peranti RAM 28GB Tiada Kompromi
July 5, 2023 Effi Saharudin

OnePlus mula mempunyai reputasi kurang menarik kerana harga jualan semakin tinggi dan pelbagai kompromi mula diambil sedangkan moto syarikat ialah “Never Settle”. Oleh sebab itu jualan syarikat terjejas sehingga memaksa OnePlus kembali di bawah payung Oppo beberapa tahun lalu.

Dengan OnePlus Nord 3 5G, kami merasakan syarikat kini berjaya membersihkan arang yang diconteng pada muka sendiri dan kini menawarkan peranti yang hampir tiada kompromi. Kenapa kami katakan begini dan apakah “kompromi” yang masih wujud? Baca ulasan penuh di bawah.

SPESIFIKASI

OnePlus Nord 3 5G
Skrin6.74″ Fluid AMOLED
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesDimensity 9000 (4nm)
Cip1 X 3.05 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikMali G710 MC10
RAM16GB LPDDR5X
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP f/1.9 OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.3 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
4K 60p
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.0
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 80W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 2199 (16/256GB)

SKRIN

Skrin 6.74″ adalah dari jenis Fluid AMOLED dengan resolusi FHD+ dan sokongan 120Hz. Ia bukan dari jenis LTPO tetapi kadar segar semula boleh berubah secara dinamik antara 40-120Hz bergantung kepada keperluan. Dari segi tahap ketahanan pula, skrin adalah dari jenis Dragontrail yang tahan calar serta hentakan. Ia boleh memaparkan kandungan HDR10+ dan sepanjang tempoh ulasan ia disokong secara rasmi pada aplikasi Netflix dan Prime Video.

Keterangan dan sudut pandangan skrin adalah memuaskan. Di bawah cahaya matahari yang terang teks pada skrin masih dapat dilihat dengan jelas. Tatalan skrin juga nampak lancar lebih-lebih lagi dalam mod 120Hz. Sensor cahaya juga baik dengan ia pantas mengubah keterangan mengikut tahap pencahayaan sekeliling. Ini adalah penting kerana kami sedari terdapat sesetengah peranti dalam kategori ini yang mempunyai sensor yang tidak cukup responsif.

Panel yang digunakan adalah dari jenis rata dengan keempat-empat sisinya sama nipis. Bagi penggemar peranti yang simetri, skrin Nord 3 adalah amat memuaskan. Segala sentuhan dikesan dengan jitu dan lebih penting sekali peranti terasa pantas kerana kandungan tidak nampak tersekat-sekat semasa tatalan dilakukan.

PPENGIMBAS CAP JARI

Pengimbas cap jari terbina di bawah skrin pada kedudukan yang kami rasakan sedikit rendah. Ini adalah isu yang kami sedari pada peranti keluaran pengeluar China. Kalaulah ia hanya setengah inci lebih tinggi, proses imbasan jari pada skrin akan menjadi lebih mudah. Sensor pula adalah dari jenis optikal maka ia tidak mengimbas dengan baik jika jari pengguna basah ataupun kotor.

Prestasi imbasan jari adalah pantas asalkan jari tidak kotor. Terdapat pilihan imbasan wajah jika diperlukan tetapi tidak beroperasi dengan konsisten dalam suasana yang gelap.

REKAAN

Rekaan tubuh adalah amat mirip dengan Nord CE 3 Lite. Sisi berkotak yang selesa di dalam tangan dipadankan dengan panel belakang kaca yang diperbuat daripada Gorilla Glass 5. Ini membolehkan peranti menahan hentakan dengan lebih baik. Terdapat butang lungsur membisukan peranti pada sisi kanan dengan di bawahnya terdapat butang kuasa diperbuat daripada logam.

Bergerak ke sisi kiri terdapat butang laras audio. Sementara itu di bawah terdapat talam dwi-SIM nano, port penegcas USB-C dan salah satu daripada speaker stereo. Akhir sekali di atas terdapat pemancar infra merah serta mikrofon.

Tidak banyak kompromi diambil oleh OnePlus kali ini kecuali tiadanya bicu audio 3.5mm yang kini sudah menjadi kelaziman. Panel belakang nampak seakan logam dalam bentuk cecair pada peranti berwarna Misty Green yang diulas. Ia mengingatkan kami kepada tubuh T1000 daripada filem Terminator 2. Sangat cantik dan menarik seperti yang dapat juga dilihat pada OnePlus 11.

Panel belakang yang sama menempatkan dua bonggol kamera yang sederhana besar tetapi tidak tinggi. Oleh itu Nord 3 boleh diletakkan di atas meja tanpa sebarang isu. OnePlus tidak pula memberikan kerangka percuma kali ini tetapi kami masih sarankan pembelian kerangka bagi mengelakkan kerosakan pada panel belakang. Lebih penting lagi kerangka akan memastikan peranti tidak menjadi licin kerana mengumpul minyak dengan mudah.

Tubuh peranti juga melepasi piawaian kalis air serta debu IP54. Ini bermakna ia tahan percikan tetapi tidak boleh dibawa menyelam. Namun begitu adanya piawaian IP54 adalah lebih baik berbanding tiada langsung. Dengan ini Nord 3 5G tiada masalah untuk bersaing dengan Poco F5 Pro dan Samsung Galaxy A54 yang turut mempunyai kemampuan kali air.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – OxygenOS 13.1

OxygenOS 13.1 digunakan dengan ia berasaskan Android 13. Ini ialah versi yang sama digunakan pada OnePlus 11 maka tidaklah mengejutkan pengalaman penggunannya adalah amat mirip. Lancar, pantas, responsif dan tiada sebarang masalah berlaku sepanjang lebih seminggu peranti digunakan. Malahan boleh kami katakan pengalaman menggunakan Nord 3 sama sahaja dengan peranti mercu premium S23 Ultra, OnePlus 11 dan Magic5 Pro yang telah kami gunakan tahun ini.

Skrin mungkin bukan dari jenis LTPO tetapi kami tidak dapat mengesan sebarang cela pada penggunaan. Semuanya nampak lancar dan tidak sekalipun tersekat-sekat walaupun banyak aplikasi dibuka di latar belakang. Jelas penggunaan memori 16GB LPDDR5X berkesan di sini.

Jika anda merasakan 16GB masih tidak cukup, ciri RAM Expansion boleh menambah sehingga 12GB lagi RAM secara maya. Telefon ini boleh mempunyai sehingga 28GB RAM! Amat melampau kerana ia lebih tinggi dari 99% telefon pintar dan komputer riba yang penah diulas di Makmal Amanz.

Kami tidak ada sebarang perkara negatif mengenai OxygenOS 13 .1 kerana ia antara pelancar yang paling cukup sifat dari segi ciri tambahan, kelancaran operasi dan rekaan antaramukanya. Ada yang mengatakan ia meniru Samsung One UI tetapi sekiranya meniru daripada pelancar yang baik dengan implementasi sempurna kami rasakan apa salahnya?

Nord 3 juga akan menerima kemas kini Android sehingga tiga versi dan tampalan sekuriti selama empat tahun. Dalam hal ini sahaja ia kalah kepada Samsung Galaxy A54 yang menerima sokongan empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti.

PENANDA ARAS – Dimensity 9000

Cip Dimensoty 9000 adalah cip yang bersaing dengan Snapdragon 8 Gen 1 dan bukan lagi sebuah cip paling mercu. Ia dipadankan pula dengan memori 16GB LPDDR5X RAM dan storan 256GB UFS 3.1.

Kami melakukan ujian penanda aras biasa iaitu Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark. Keputusan ujian adalah seperti di bawah. Kami bandingkannya dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 (Poco F5 Pro), Snapdragon 8 Gen 2 (OnePlus 11), Dimensity 9000+ (Oppo N2 Flip) dan Dimensity 9200 (Vivo X90)

Geekbench 6

  • OnePlus Nord 3 5G – 1092/3337
  • Poco F5 Pro – 1868/5272
  • Oppo Find N2 Flip – 1028/3088
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Vivo X90 – 1668/4000

Antutu 3D

  • OnePlus Nord 3 5G – 914,552
  • Poco F5 Pro – 1,049,997
  • Oppo Find N2 Flip – 756,646
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Vivo X90 – 1,147,029

Wild Life Extreme

  • OnePlus Nord 3 5G – 2296
  • Poco F5 Pro – Tiada
  • Oppo Find N2 Flip – 2617
  • OnePlus 11 – 3712
  • Vivo X90 – 3176

Skor yang dicatatkan mungkin tidak mengujakan kerana kalah kepada Snapdragon 8+ Gen 1 tetapi harus kami katakan ujian sintetik tidak menunjukkan keadaan sebenar. Dari segi kelancaran ia terasa lebih baik berbanding Poco F5 Pro dan Find N2 Flip yang dilengkapi pemproses yang lebih terkini.

Majoriti permua seperti COD Mobile, Diablo Immortal dan Asphalt 9 boleh dijalankan pada tetapan grafik dan resolusi yang tinggi. Jika permua lancar, aplikasi biasa seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram kesemuanya boleh dijalankan juga tanpa sebarang isu. Cip ini adalah amat memadai bagi kebanyakan pengguna.

Isu pemanasan juga tiada dengan hanya peranti menjadi sedikit suam selepas sesi permua yang agak panjang. Ia adalah sama sahaja dengan pengalaman peranti dengan Snapdragon 8+ Gen 1 yang turut menjadi suam.

TELEFONI Dan GPS

Rangkaian 5G boleh kami nikmati dengan kelajuan mencecah 1.4 GBps dalam ujian yang dilakukan. Panggilan selular juga amat terang serta lancar. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE dan VoWiFi, kedua-dua ciri ini juga disokong oleh Nord 3. Sebanyak dua SIM 5G bersaiz nano boleh digunakan pada peranti secara serentak.

Prestasi WiFi juga pantas dengan sokongan sehingga WiFI 6. Sambungan GPS juga cemerlang dengan lokasi kami di dalam aplikasi Waze dan Google Maps dikesan dalam masa bawah dua saat.

KAMERA

Sistem tri-kamera di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dengan OIS, 8MP ultra sudut lebar dan 2MP kedalaman. Di hadapan pula sensor 16MP digunakan. Sensor utama 50MP di belakang ialah sensor Sony IMX890 yang digunakan pada OnePlus 11 awal tahun ini. Perbezaan hanyalah dari sudut perisian kerana Nord 3 tidak mempunyai sokongan sistem kamera Hasselblad.

Kemampuan kamera adalah amat baik. Prestasi lensa sudut lebar misalnya setanding dengan yang kami lihat pada OnePlus 11. Kami sukakan penghasilan warna yang nampak hidup, imej yang tajam dan kamera yang berfungsi dengan pantas. Dengan OIS, imej sentiasa nampak tajam lebih-lebih lagi dalam mod malam.

Yang kami sedari ialah terdapat perbezaan warna antara lensa sudut lebar berbanding ultra sudut lebar. Imej diambil pada lensa sudut lebar 50MP adalah lebih terang. Dalam keadaan gelap perbezaan yang ketara dapat dilihat. Walaupun tanpa OIS, imej diambil lensa ultra sudut lebar 8MP masih lagi baik tetapi nampak sedikit lembut.

Mod potret juga amat baik kerana dapat membezakan subjek dengan latar belakang. Dalam imej di bawah misalnya, bulu-bulu pada anak patung dapat dibezakan hampir satu persatu. Mod potret pada kamera swafoto juga memuaskan.

Mod malam Nord 3 adalah yang paling mengagumkan kerana imej masih nampak terang serta sumber cahaya tidak nampak pecah. Prestasi yang amat baik sehingga boleh memalukan mod malam beberapa telefon pintar yang dijual pada harga jauh lebih mahal.

BATERI

Bateri 5000 mAh membolehkan membolehkan SOT sehingga 7.5 jam dinikmati secara konsisten. Pada penggunaan yang berat, Nord 3 beroperasi sehingga hampir 11 jam. Dalam penggunaan lebih konservatif pula ia boleh bertahan sehingga sehari tetapi ini memerlukan peranti bergantung kepada WiFi sepenuhnya maka ianya tidak begitu realistik. Hayat bateri tidak begitu cemerlang tetapi kekurangan ini diubati oleh pengecasan 80W yang cukup pantas.

Pengecasan penuh boleh dilakukan dalam masa hanya 35 minit dengan pengecas diberikan dalam kotak. Cuma tiada sokongan pengecasan nirwayar walaupun panel belakang peranti ini diperbuat daripada kaca.

AUDIO

Audio dari speaker stereo adalah dibantu oleh sokongan Dolby Atmos. Speaker menembak ke sisi di bawah dan ke depan pada bahagian atas maka audio adalah kurang seimbang. Prestasi speaker adalah baik dengan audio adalah lantang tetapi tidak pecah. Tiada masalah menonton video dan memainkan permua kerana sistem audio beroperasi dengan baik. Cuma kami sedikit kecewa sistem Dolby Atmos hanya boleh digunakan apabila Nord 3 disambungkan kepada aksesori audio seperti TWS.

PESAING

OnePlus Nord 3 5GOppo Reno10 Pro+Poco F5 Pro
6.74″ Fluid AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+6.67″ OLED, FHD+, 120Hz, HDR10+6.67″ AMOLED, WQHD+, 120Hz, Dolby Vision
Dimensity 9000 (4nm)
1 X 3.05 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Mali-G710 MC10Adreno 730Adreno 730
16GB LPDDR5X16GB LPDRR58/12 GB LPDDR5
256/512 UFS 3.1256/512 GB UFS 3.1256/512 UFS 3.1
Kamera Utama
50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.3 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
4K 60p
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
64MP f/12.5, (Telefoto 5X Optikal)
4K 60p
Kamera Utama
64MP f/1.79, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
8K 24p
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.45
IP54IP68IP53
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 80W)4700mAh (Berwayar 100W)5160 mAh (Berwayar 67W)
RM 2199 (16/256GB)

RM 2540* (16/256GB)
RM 2800*
(16/512GB)
RM 2099 (8/256GB)
RM 2199
(12/256GB)
RM 2399
(12/512GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x OnePlus Nord 3 5G
  • 1x Pengecas 80W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

OnePlus Nord 3 5G ialah peranti terbaik dalam kelas telefon pintar mercu mampu milik setakat ini. Kombinasi perisian sempurna, spesifikasi tinggi, rekaan cantik, kalis air, sokongan kemas kini yang panjang, pengecasan pantas dan prestasi kamera yang setanding kelas mercu premium membuatkan ia berbaloi untuk dimiliki. Ia dengan mudah memintas Poco F5 Pro dalam kategori ini.

Pada harga RM2199 ia menjadikannya amat kompetitif. Mengesahkan anda tidak perlu membayar sehingga RM6000 untuk sebuah peranti yang baik pada tahun 2023. Kekurangan yang ada hanyalah tubuh kaca yang mudah kotor, dan tiada sokongan pengecasan nirwayar. Pada waktu ini OnePlus Nord 3 5G ialah pilihan kami untuk peranti kelas mercu mampu milik di Malaysia.

Pro

  • Skrin AMOLED 120Hz yang lancar.
  • Dimensity 9000 ialah cip yang berkuasa.
  • Prestasi kamera yang amat baik.
  • Jumlah RAM yang mencecah 28GB.
  • Pengecasan pantas 80W.
  • Kalis percikan air IP54.
  • Sokongan 3 versi Android dan sekuriti 4 tahun.

Kontra

  • Tiada slot kad Mikro SD.
  • Tiada pengecasan nirwayar.
  • Prestasi bateri sederhana untuk kapasiti 5000 mAh.

Komen