Cari @ Amanz

Sudah lama pengeluar peranti cuba memimik kuasa The Force dalam Star Wars iaitu kuasa menggerakkan sesuatu dengan minda dan pergerakan tangan. LG G8 ThinQ antara yang terawal dengan Air Motion dan kemudiannya Google Pixel 4 dengan Motion Sense yang menggunakan sensor radar Soli.

Terbaru Xiaomi dilihat ingin menawarkan ciri lebih kurang sama pada peranti Xiaomi lain dan mungkin boleh digunakan oleh peranti MIUI lain.

Ciri ini dilaporkan oleh Kacper Skrzypek melalui laman MIUIPolska. Pengguna boleh menggunakan kawalan gestur atas udara untuk mengawal main balik media, mengawal aras suara, melangkau muzik, menukar muka surat, menjawab atau mematikan panggilan tanpa menyentuh peranti. Ciri ini turut dikatakan boleh mengunci skrin peranti apabila pengguna berjauhan dan skrin menyala apabila pengguna mendekati peranti.

Tambahan sumber ciri ini akan menggunakan sensor 3D ToF yang sudah lama tidak diintegrasikan pada sebuah telefon pintar. Ini bermakna Xiaomi mungkin akan menawarkan ciri ini pada peranti model baharu. Kali terakhir sensor 3D ToF disertakan adalah pada Mi 8 untuk ciri seakan Face ID.

Tidak dinafikan idea kawalan seperti ini menjadikan pengguna seakan kesatria Jedi di dunia nyata. Sayang sekali, sensor dan perisian yang tidak begitu mantap menyebabkan tangan dan gestur tidak dapat dikesan dengan baik menjadikan penggunaan kawalan ini melecehkan.

Untuk peranti baharu Honor Magic5 Pro, OnePlus Nord CE 3 Lite dan beberapa peranti Oppo turut sudah menawarkan ciri lebih kurang sama, cuma terhad untuk menjawab panggilan telefon sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd