Threads Tidak Dilancarkan Di Eropah Kerana Isu Penggunaan Data Peribadi
Effi Saharudin
Threads akan dilancarkan esok sebagai pesaing kepada Twitter. Beberapa pengguna sudah dapat mengakses perkhidmatan ini lebih awal kerana menerima tiket di dalam Instagram. Dengan Twitter masih belum kembali beroperasi dengan lancar sejak hujung minggu lalu, Threads dilihat sebagai alternatif bagi mereka yang sudah bosan dengan karenah Elon Musk.

Tetapi menurut laporan Independent.ie, Threads tidak akan dilancarkan di negara Kesatuan Eropah (EU) dalam masa terdekat. Ini memandangkan Threads mengumpul pelbagai maklumat peribadi seperti data kesihatan, alamat, identiti pengiklanan, nombor telefon, buku alamat dan banyak lagi.
Undang-undang EU yang ketat tidak membenarkan data Facebook dan Instagram digunakan untuk tujuan pengiklanan dengan sewenang-wenangnya. Wakil Meta tidak pula memberikan maklum balas rasmi sama ada Threads akan ditawarkan ke pasaran EU di masa hadapan.
[sumber] Independant [/sumber]