Carian
Threads Mencatatkan Lebih 2 Juta Pengguna Selepas Hanya Dua Jam Dilancarkan
July 6, 2023 Effi Saharudin

Meta melancarkan Threads hanya beberapa jam yang lalu dan pesaing kepada Twitter daripada Mark Zuckerberg nampaknya mempunyai langkah kanan menenggelamkan bahtera media sosial Elon Musk. Dalam masa dua jam sahaja, Threads sudah mempunyai lebih 2 juta pengguna. Ini pastinya dibantu oleh Threads yang dilancarkan serentak di 30 negara utama dunia dan hanya memerlukan akaun Instagram.

Berita mengenai jumlah pengguna Threads ini dikongsi oleh Zuckerberg sebentar tadi menerusi akaun Threads beliau dan pada waktu ini angka pengguna sebenar pastinya lebih tinggi. Kelebihan lain pada Threads ialah akaun jenama dan selebriti tidak perlu menjalani proses pengesahan identiti sekali lagi. Sebaliknya pengesahan yang dilalui menggunakan Instagram diimport. Lebih menarik bagi jenama ialah mereka langsung tidak perlu membayar untuk akaun mereka disahkan tidak seperti yang dilakukan oleh Musk di Twitter.

Masih terlalu awal untuk mengatakan Threads ialah alternatif terbaik untuk Twitter pada waktu ini. Tetapi berdasarkan sambutan awal pada susur masa Threads, kami dapat melihat Threads mempunyai potensi membunuh Twitter seperti bagaimana Facebook membunuh MySpace hampir dua dekad yang lalu. Kedua-duanya mempunyai penglibatan Mark Zuckerberg.

Komen