Spotify hari ini mula menghantar emel kepada pelanggan Spotify Premium yang melakukan pembayaran menerusi Apple App Store menurut laporan Variety. Dalam emel tersebut Spotify mengatakan mereka tidak lagi menerima pembayaran menerusi App Store. Sekiranya anda terdiri dalam golongan ini, Spotify menggesa anda menghentikan langganan di akhir kitaran bil sebelum melakukan langganan semula di luar ekosistem Apple.
Spotify tidak lagi menerima langganan baharu menerusi App Store sejak 2016. Maka perubahan ini hanya melibatkan pengguna ekosistem Apple yang melakukan langganan sebelum tahun tersebut. Jika perubahan tidak dilakukan, akaun akan secara automatik berubah ke versi percuma yang menghadkan pelbagai ciri yang hanya diberikan kepada pelanggan Spotify Premium.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan Apple terus mengambil keuntungan 30% ke atas setiap langganan yang menjadikannya lebih mahal jika dibandingkan dengan pembayaran menerusi telko misalnya.