Garmin Malaysia hari ini telah melancarkan enam jam tangan pintar baharu di bawah fēnix 7 dan epix iaitu siri fēnix 7 Pro dan siri epix Pro (Gen 2). Kesemua jam ini mempunyai spesifikasi lebih kurang sama dengan perbezaan ketara terletak pada skrin dan rekaan sahaja.
Garmin fēnix 7/7S/7X Pro,
Jam ini hadir dengan skrin 1.2” (240 x 240), 1.3” (260 x 260) atau 1.4” (280 x 280). Skrin dilindungi dengan kaca nilam solar Power Sapphire yang boleh memberi kuasa tambahan apabila terdedah di bawah cahaya matahari dan mempunyai storan 32GB. Seperti biasa Garmin menggunakan sistem operasi jam mereka yang tersendiri dengan sokongan gedung aplikasi Connect IQ.
Rekaan tahan lasak kekal digunakan pada siri fēnix 7 Pro dengan tubuh gentian polimer yang diperkuatkan, bingkai titanium dan melepasi piawaian tentera Amerika Syarikat untuk ketahanan haba, hentakan serta kalis air 10 ATM. Tali jam yang digunakan adalah jenis silikon.
Garmin mendakwa yang mod jam tangan pintar memberi ketahanan bateri mencapai 37 hari dan jika menggunakan GPS ia mampu bertahan sehingga 89 jam. Jam ini turut hadir dengan lampu suluh LED terbina untuk tujuan meneroka hutan dalam gelap yang turut dibantu dengan peta terbina.
Seperti jam Garmin fēnix 7 yang lain, jam ini turut hadir dengan banyak ciri dan fungsi penjejakan hebat dengan pelbagai mod sukan terbina. Pelbagai sensor turut dimuatkan seperti sensor pengimbas nadi generasi kelima. Ciri seperti ClimbPro, PacePro, kiraan ketahanan diri dengan VO2, laporan kesihatan, cadangan senaman, informasi stamina masa nyata, penjejakan berbasikal, SpO2 dan banyak lagi boleh digunakan.
Siri fēnix 7 Pro turut boleh memberi notifikasi, memainkan muzik, menyokong mod penjimatan bateri, ada GPS dengan peta luar talian dan antara yang menarik adalah nasihat untuk mengelak jet lag apabila mengembara ke benua lain.
Siri Garmin fēnix 7 Pro dijual di Malaysia pada harga bermula RM4450 untuk fēnix 7 Pro dan fēnix 7S Pro dan RM4950 untuk fēnix 7X Pro.
Garmin epix Pro (Gen 2)
Epix Pro (Gen 2) mempunyai spesifikasi lebih kurang sama. Perbezaan paling ketara adalah model ini menggunakan skrin AMOLED dan tiada teknologi solar terbina, Saiz skrin juga sama 1.2” (390 x 390), 1.3” (416 x 416) dan 1.4” (454 x 454) tetapi dengan perlindungan kaca Gorilla Glass.
Bahan binaan sedikit berbeza dengan bingkai keluli tahan karat. Walaupun rekaan epix Pro kelihatan ringkas ia masih tahan lasak dan menyokong kalis air 10 ATM.
Ketahanan bateri boleh mencapai 31 hari dan 82 jam untuk mod GPS. Ciri lain seperti lampu suluh LED, PacePro, ClimbPro, peta dan GPS dikekalkan. epix Pro turut menyokong Garmin Pay, tetapi ciri pembayaran nirwayar ini masih tidak disokong di Malaysia.
Di Malaysia Garmin epix Pro (Gen 2) 42mm dan 47mm dijual pada harga RM4950, sementara 51mm pada harga RM5440.