Carian
Siri Oppo Reno10 Dilancarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM1799
July 6, 2023 Amy Maizuraa

Siri Oppo Reno10 baharu dilancarkan di Malaysia dengan tiga variasi model yang disesediakan. Ia terdiri dengan Oppo Reno10, Reno 10 Pro dan Reno 10 Pro+ yang kesemuanya menyokong 5G terbina. Di samping turut diberi penambahbaikan dari aspek ciri dan fungsi dalam menjadikannya cukup baik dalam kelasnya.


Bermula dengan Oppo Reno10 Pro+, ia dilengkapi skrin melengkung sebesar 6.74″ AMOLED (2772 X 1240 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Ini digabungkan pula dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 sebagai tunjang utama, di samping pilihan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Kapasiti bateri pula sebesar 4700mAh yang juga menyokong sistem pengecasan pantas 100W menerusi port USB-C.

Tri-kamera utama digunakan dibelakang dengan tetapan 64MP (telefoto perikskop) + 50MP OIS (lebar) + 8MP (ultra-lebar). Kamera ini juga dilengkapi cip MariSilicon X bersama kebolehan merakam maksimum 4K/60fps. Seterusnya kamera swafoto pula sebesar 32MP. Lain-lain spesifikasi termasuklah sistem audio stereo, pengimbas cap jari di skrin dan menjalankan Android 13.

Kemudian Oppo Reno10 Pro pula menggunakan skrin melengkung OLED 6.7″ 1240 X 2772 piksel dengan kadar segar semula 120Hz. Ia dijanakan dengan cip Snapdragon 778G yang juga memuatkan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Kapasiti bateri pula sebesar 4600mAh yang juga menyokong sistem pengecasan pantas 80W menerusi USB-C.

Kamera utama 32MP (telefoto) + 50MP OIS (lebar) + 8MP (ultra-lebar) digunakan di belakang, sementara itu kamera hadapan pula sebesar 32MP. Kamera ini juga boleh merakam maksiumum 4K dan cip MariSilicon X bagi tujuan fotografi lebih baik. Lain-lain spesifikasi termasuklah sistem audio mono, pengimbas cap jari di skrin dan menjalankan Android 13.

Akhir sekali adalah Oppo Reno 10 yang juga dilengkapi skrin melengkung OLED 120Hz sebesar 6.7-inci. Cip MediaTek Dimensity 7050, memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB digunakan sebagai tunjang utama. Kemudian bateri pula sebesar 5000mAh yang juga menyokong pengecasan pantas 67W.

Sistem tri-kamera yang digunakan pula sebesar 64MP (lebar) + 32MP (telefoto) + 8MP (ultra lebar) yang juga menyokong kamera swafoto sebesar 32MP. Kamera boleh merakam maksimum 4K menggunakan kamera utama,namun terhad kepada 1080P/30fps pula di hadapan. Lain-lain spesifikasi termasuklah sistem audio stereo, pengimbas cap jari di skrin dan menjalankan Android 13.

Bagi yang berminat Oppo Reno10 Pro+ dijual pada RM3,499, Reno10 Pro berharga RM2,199 dan Reno10 pula boleh dibeli dengan RM1,799. Kesemua peranti ini boleh dipratempah bermula sekarang hingga 14 Julai 2023 dengan hadiah menarik sehingga RM896 (Reno10 Pro+), RM506 (Reno10 Pro) dan RM238 (Reno10).

Komen