Siri Huawei Nova 11 Akan Tiba Di Pasaran Tempatan Pada 7 Julai Dengan Harga Permulaan RM2199
Nazrin
Huawei Malaysia hari ini telah melancarkan siri peranti pintar terbaru mereka, siri Huawei Nova 11 yang terdiri daripada Huawei Nova 11 dan Huawei Nova 11 Pro, dua peranti kelas pertengahan daripada syarikat teknologi China tersebut.
Bermula dengan Huawei Nova 11, ia hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 6.7 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kadar sentuhan 300Hz dengan resolusi FHD+ 2412 × 1084 pixel dengan rekaan yang leper.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 778G dan hadir dengan memori sebesar 8GB dan storan dalaman bersaiz 256GB. Dari segi sistem operasi, peranti ini menggunakan EMUI 13 yang berasaskan sistem operasi Android 12.
Komponen kamera merupakan salah satu daripada aspek yang dititikberatkan pada peranti ini, di mana ia hadir dengan sistem dwi-kamera UltraVision 50MP dengan bukaan f/1.9 dan kamera ultra-lebar makro 8MP dengan bukaan f/2.2. Ia juga tiba dengan fungsi autofokus dan penstabilan imej menggunakan kecerdasan buatan yang menjanjikan tangkapan gambar yang tajam.

Untuk Huawei Nova 11 Pro pula, ia hadir dengan paparan OLED 6.78 inci yang sedikit lebih besar dengan resolusi 2652 × 1200 dan kadar segar semula dan kadar sentuhan yang sama. Peranti ini juga menggunakan paparan OLED yang melengkung di sekeliling sisi peranti ini.
Ia juga mempunyai spesifikasi dalaman yang sama dengan Huawei Nova 11, tetapi rekaan belakang yang berbeza, di mana Huawei Nova 11 hadir dengan rangka plastik, tetapi untuk Huawei Nova 11 Pro pula, ia menggunakan vegan leather.

Kedua-dua peranti ini juga hadir dengan bateri bersaiz 4500mAH dan menggunakan sistem pengecasan 66W (Huawei Nova 11) dan 100W (Huawei Nova 11 Pro) Huawei SuperCharge Turbo untuk pengecasan peranti yang pantas.
Dan untuk kali pertama, siri peranti Huawei Nova 11 ini juga kedua-duanya tampil dengan kaca terbaja Kunlun yang memastikan bahawa paparan peranti ini sukar untuk dicalakan dan dipecahkan.


Huawei Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua peranti ini akan ditawarkan di pasaran tempatan bermula 7 Julai 2023 pada tanda-tanda harga berikut:
- Huawei Nova 11 – RM2199
- Huawei Nova 11 Pro – RM2599
Setiap pembelian peranti ini juga hadir dengan hadiah percuma Huawei Band 7 yang bernilai RM219 dan juga hadiah percuma Ragnarok Online Origins bernilai $30 (RM140).
Ralat: Gambar tanda harga sebelum ini memperlihatkan tarikh jualan 27 Julai 2023 yang tidak tepat. Tarikh jualan siri Huawei Nova 11 dan Huawei Nova 11 Pro ialah 7 Julai 2023.