Threads Kini Mempunyai Lebih 50 Juta Akaun Pengguna
Aman
Meta telah pun melancarkan aplikasi Threads secara rasminya semalam, dan kini selang lebih sehari dilancarkan, Threads mencatatkan angka pengguna melangkaui 50 juta akaun.
Ini boleh dikatakan suatu angka pencapaian yang tinggi dicatatkan perkhidmatan berasaskan internet, dalam tempoh yang sangat singkat. Dengan perkembangan sihat ini, tidak mustahil kita melihat Threads mencapai angka 100 juta pengguna dalam beberapa hari lagi sahaja.
Meta sebelum ini mengumumkan mereka mencapai 2 juta pengguna dalam tempoh hanya 2 jam pertama, dan seterusnya berjaya mencapai seramai 10 juta pengguna dalam tempoh 7 jam pertama.

Threads menawarkan ciri perkongsian dalam bentuk teks, selain turut membolehkan pengguna menyertakan video dan gambar dalam perkongsian. Ia diposisikan sebagai alternatif kepada Twitter – dan berjaya menarik ramai pengguna Twitter ke platform berkenaan disebabkan oleh pelbagai had yang dikenakan dibawah pengurusan Elon Musk.
Threads sendiri boleh dikatakan masih pada peringkat yang terlalu awal, dan beberapa ciri masih dinantikan pengguna, termasuk halaman utama yang memaparkan perkongsian dari rakan-rakan yang diikuti sahaja.
Dengan perkembangan terbaru ini, ia semestinya sesuatu yang menarik untuk diperhatikan – terutamanya untuk persaingan antara Twitter dan juga Threads.