Carian
Bateri Tidak Toksik Pertama Dibangunkan Oleh Saintis
July 8, 2023 Effi Saharudin

Dua dekad lalu penggunaan bateri adalah agak rendah dengan kebanyakan peranti elektronik di rumah sekadar memerlukan sel kering untuk berfungsi. Kini penggunaan bateri boleh dicas semula mencanak kerana digunakan pada telefon pintar, komputer, tablet, dan juga kereta elektrik. Isu yang sudahpun wujud sekarang ialah pencemaran kerana perlombongan tetapi lambakan bateri terpakai yang toksik kepada alam sekitar.

Saintis dari Flinders University Australia dan Zhejiang Sci-Tech University di China telah berjaya menghasilkan bateri pertama yang dikatakan tidak toksik. Bateri aluminium-ion yang dibangunkan menggunakan bahan 2,2,6,6-tetramethylpiperidyl-1-oxy, atau nama panggilannya TEMPO untuk menjadikannya lebih sukar untuk terbakar. Elektrolitnya pula berasaskan air dan bukannya bahan kimia toksik yang digunakan sekarang.

Sementara itu penggunaan elemen Al3+, Zn2+, dan Mg2+ pula akan memberikan kapasiti tenaga lebih tinggi berbanding bateri Li-ion. Ia tidak menggunakan sumber kadmium, plumbum dan merkuri yang sukar dikitar semula kerana ia toksik kepada manusia.

Prototaip bateri dengan kapasiti 110 mAh yang dibangunkan boleh menawarkan voltan 1.25 V sehingga 800 kitaran pengecasan. Sungguhpun tidak toksik, bateri ini masih mempunyai kelemahan di mana ia tidak boleh menawarkan voltan yang tinggi. Buat masa ini ia masih bukan alternatif terbaik untuk bateri Li-ion.

Komen