Sooka minggu ini menawarkan lima saluran percuma untuk distrim dengan sokongan iklan. Saluran K-Popcorn, ESTV, CarbonTV, TAYO+ dan Gusto TV boleh ditonton percuma oleh semua pengguna berdaftar. Dalam ujian kami tadi, sebelum kandungan boleh distrim penonton perlu melihat dua iklan secara berturutan. Pengalamannya sama seperti menonton YouTube tanpa akaun premium.
Saluran-saluran ini menawarkan kandungan terkini dari Korea Selatan, esukan serta dron, peminat sukan riadah, siri animasi dan makan serta minuman. Kandungan premium lain daripada Sooka masih lagi boleh diakses dengan bayaran RM15.90, RM34.90 dan RM62.90 sebulan bergantung kepada jumlah saluran yang ingin dilanggan.