Carian
Apple Macbook Air 15″ Kini Boleh Dibeli Di Malaysia Pada Harga Bermula RM6199
July 10, 2023 Effi Saharudin

Selepas lebih sebulan dilancarkan di WWDC, Apple MacBook Air 15″ kini boleh dibeli di Malaysia menerusi kedai atas talian Apple. Ia hadir dengan skrin sebesar 15.3″ IPS LED dengan resolusi retina. Dari segi rekaan ia mirip MacBook Air 13″ sebelum ini tetapi dengan skrin serta tubuh yang lebih besar.

MacBook Air 15″ ialah komputer riba 15″ yang paling nipis di dunia dengan ia hanya setebal sekitar 11mm. Ia dilengkapi dengan cip Apple M2, memori sehingga 24GB dan storan sehingga 2TB. Cip Apple M2 ini hadir dengan CPU 8 teras dan GPU 10 teras.

Dari segi penawaran I/O ia dilengkapi port pengecasan MagSafe, 2x USB-C dan satu bicu audio. Sistem imbasan Touch ID terbina pada butang kuasa bagi mereka yang memerlukan sistem keselamatan biometri.

Ia ditawarkan dalam empat pilihan warna serta hadir dengan papan kekunci Magic Keyboard serta sistem audio dengan enam speaker. Dari segi bateri pula, MacBook Air 15″ mampu beroperasi sehingga 18 jam. Seperti MacBook Air yang lain, MacBook Air 15″ juga tidak mempunyai sistem penyejukan aktif.

Di Malaysia harga jualan Apple MacBook Air 15″ bermula daripada RM6199 (8/256GB) dalam warna Midnight, Starlight, Silver, dan Space Grey.

Komen