Sabrent ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk penawaran storan SSD PCIe mereka yang bukan sahaja mempunyai jumlah saiz storan yang besar, tetapi juga hadir dengan kelajuan pembacaan dan penulisan data yang cukup tinggi sekali.
Terkini, Sabrent dilihat telah memperlihatkan prototaip untuk storan SSD PCIe Gen5 terbaru mereka, yang dinamakan Sabrent Rocket X5 yang hadir dengan jumlah storan 2TB dan memperlihatkan kelajuan pembacaan data 14GB/s dan kelajuan penulisan data setinggi 12GB/s.
Sabrent Rocket X5 dilihat menggunakan storan keluaran Phison, iaitu Phison PS5026-E26 yang telah diubahsuai untuk mendapatkan kelajuan pembacaan dan penulisan data yang lebih pantas. Sabrent mengatakan bahawa SSD ini masih lagi dalam fasa penalaan, dan dilihat hadir dengan bongkah penyejukan aluminum untuk memastikan bahawa storan ini sentiasa berfungsi pada suhu optimum.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Sabrent akan melancarkan SSD Rocket X5 mereka ini.