Samsung Galaxy M34 5G Dengan Bateri 6000mAh Dilancarkan Secara Rasmi
Amy Maizuraa
Samsung kini menambah pilihan peranti baharu di bawah siri M di India. Melaluinya Samsung Galaxy M34 telah diperkenalkan dengan fokus terhadap penggunaan berpanjangan. Hal ini boleh dilihat menerusi kepelbagaian perkara yang disertakan seperti skrin dan bateri lebih besar. Di samping, sokongan sistem dan sekuriti yang berpanjangan.

Samsung Galaxy M34 menggunakan skrin sebesar 6.5″ Super AMOLED FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga dijana dengan cip Exynos 1280 yang juga memuatkan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Ruang tambahan menerusi kad mikroSD juga disediakan yang boleh dikembangkan sehingga 1TB.

Sistem kamera utama terdiri dengan 50MP (utama) + 8MP (ultra-lebar) + 5MP (makro) dan kamera hadapan pula sebesar 13MP. Peranti juga mempunyai bateri sebesar 6000mAh yang menyokong pengecasan 22.5W. Dalam pada itu Samsung turut menjanjikan kemaskini sistem OS selama empat tahun serta tampalan sekuriti mencapai lima tahun.

Harga jualan peranti adalah bermula INR18,999 (~RM1,073) (6/128GB) dan INR20,999 (~RM1,186) (8/128GB) sebuah.