Ini Antaramuka Melakukan Panggilan Video Dan Suara Twitter
Effi Saharudin
Twitter pernah mengacah untuk membawakan ciri panggilan video dan suara secara terbina seperti disokong pada WhatsApp. Hari ini pereka di Twitter, Andrea Conway memperlihatkan rekaan antaramukanya buat pertama kali.

Ia diakses menerusi skrin DM dengan terdapat pilihan melakukan panggilan suara dan video menerusi menu khas. Apabila panggilan dilakukan, terdapat pilihan membisukan audio, menghalang kamera, menghalang video dan menamatkan panggilan. Sebuah tingkap kecil berbentuk empat segi untuk melihat wajah pemanggil juga boleh dilihat. Rekaannya mirip dengan ciri FaceTime yang popular di kalangan pengguna ekosistem Apple.
Conway menambah ciri ini boleh dimatikan sekiranya anda tidak mahu menerima panggilan suara dan video spam. Halangan siapa yang boleh melakukan panggilan kepada pengguna juga akan diberikan dalam tetapan aplikasi. Masih tiada tarikh bila ciri ini akan diberikan dan sama ada ia eksklusif kepada pelanggan Twitter Blue.
[sumber] Andrea Conway [/sumber]