Carian
Teknik Skrin Hijau Magenta Netflix Menghasilkan Kesan Khas Yang Kelihatan Lebih Realistik
July 11, 2023 Fahim Zahar

Kerja-kerja suntingan kesan visual dalam sesuatu filem atau siri TV bukanlah sesuatu yang mudah. Lagi-lagi yang melibatkan skrin hijau kerana jika tidak dilakukan dengan kemas penonton boleh melihat objek yang dipalsukan.Terbaru, Netflix telah berjaya mencipta teknik skrin hijau baharu yang digelar sebagai Magenta Green Screen. Teknik ini dikuasakan dengan kecerdasan buatan (AI) dan turut boleh berfungsi secara masa nyata dari dalam kamera.

Teknik Magenta Green Screen ini jika dilihat dari video di atas, watak di hadapan skrin hijau yang digantikan dengan latar belakang sesuatu adegan kelihatan lebih realistik. Bukan itu sahaja objek yang lut cahaya seperti botol kaca turut lebih mudah ditukar latar belakangnya tanpa mencacatkan objek tersebut.

Kesan pencahayaan warna hijau pada watak juga turut tidak kelihatan, memudahkan lagi suntingan video dilakukan ketika pasca-proses. Buat masa ini teknik baharu ini masih dalam kajian dan belum digunakan di set penggambaran sebenar. Masalah utama pada Magenta Green Screen adalah setiap pelakon perlu dipancarkan dengan cahaya biru dan merah yang sangat terang yang mungkin boleh mengganggu fokus mereka.

Kertas kajian mengenai bagaimana sistem ini dibangunkan serta maklumat lebih lanjut penggunaannya boleh diakses menerusi pautan di bawah.

Komen