MSI Memperlihatkan Siri Kad Grafik GAMING SLIM Dengan Penawaran GeForce RTX 4060Ti Mereka
Nazrin
Kebelakangan ini, kad grafik secara lazimnya hadir dengan rekaan yang tebal, khususnya pada bahagian bongkah penyejukan untuk memastikan komponen-komponen diatas papan litar seperti cip pemprosesan grafik dan juga cip-cip lain beroperasi pada kadar yang optimal.

Terkini, MSI telah memperlihatkan rekaan kad grafik yang serba nipis melalui siri kad grafik baru mereka, yang mana kad grafik pertamanya ialah MSI GeForce RTX 4060Ti GAMING X SLIM yang dibangunkan berasaskan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060Ti.

Kad grafik ini hadir dengan isu rekaan serba baru, dengan sistem penyejukan yang menggunakan bongkah lebih nipis yang membolehkan kad grafik ini hanya menggunakan dua slot pengembangan, dengan kipas-kipas penyejukan sama yang digunakan pada kad grafik siri GAMING X TRIO. Ia juga hadir dengan warna putih, sesuai untuk mereka yang mahu membina komputer dengan reka warna tersebut.
Dari segi spesifikasi, kad grafik ini menggunakan varian RTX 4060Ti dengan 16GB memori GDDR6, dan buat masa ini tidak diketahui lagi sekiranya variasi 8GB memori akan diperkenalkan.
[sumber]VideoCardz[/sumber]