Sarawak kini menguji kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada lampu isyarat, di sekitar bandaraya Miri. Langkah ini adalah dalam usaha untuk mengurangkan kesalahan trafik, nahas serta kesesakan jalan raya.
Buat masa ini, CCTV dipasang di lampu isyarat Jalan Merbau dan Jalan Pujut-Miri. Melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan, CCTV ini boleh merakam had laju kenderaan, mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan, serta merekodkan sejumlah kesalahan trafik.
CCTV ini juga dikatakan mampu mengenal-pasti kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, dan merekodkannya. Dengan teknologi ini juga, ia dijangka akan dapat mengenal-pasti pemandu yang sering melakukan kesalahan dengan kadar yang tinggi, sekaligus membantu dalam usaha mengurangkan kemalangan dan nahas.
Untuk peringkat permulaan ini, ia pada fasa ujian konsep – dan tidak mustahil ia diperluaskan ke kawasan-kawasan lain sekitar Sarawak sekiranya semuanya berjalan lancar.