Carian
Ulasan Realme 11 Pro+ – 200MP Dan Gucci Belum Cukup Memukau
July 20, 2023 Fahim Zahar

Realme Malaysia sejak kebelakangan ini kerap memfokuskan kepada peranti kelas pertengahan dan juga kelas asas. Melalui realme 11 Pro+ mereka cuba membawakan kemampuan kamera peranti mercu 200MP dalam pakej yang lebih mampu milik. Bukan itu sahaja, rekaan panel belakang juga dihasilkan oleh bekas pereka GUCCI untuk memberikan penampakjan yang lebih mewah.

Realme 11 Pro+ turut menjadi peranti pertama di Malaysia dengan cip Dimensity 7050. Persoalannya adalah dengan tanda harga bawah RM2000 peranti ini berbaloi untuk dimiliki?

SPESIFIKASI

Realme 11 Pro+
Skrin6.7″ AMOLED, FHD+, 120Hz
PemprosesDimensity 7050 (6nm)
Cip2x 2.6 GHz Cortex-A78
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM12GB + 12GB Maya
Muatan Dalaman512GB
Kamera Utama200MP f/1.69 OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
Street Photography Mode, One Take,
Super NightScape
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.45
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 100W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 1999 (12/512 GB)
RM 1499 (8/256 GB)

SKRIN

Skrin 6.7″ AMOLED dengan resolusi FHD+ dan sokongan 120Hz digunakan pada peranti ini. Saiz yang cukup besar, bezel yang nipis dan hampir sekata ini cukup menarik apabila menonton video di mana-mana platform penstriman. Keterangan skrin boleh mencapai 950 nits yang mana cukup baik untuk penggunaan di dalam rumah/pejabat dan juga di luar.

Disebabkan realme tidak menggunakan panel AMOLED LTPO, kadar segar semula 120Hz berfungsi secara adaptif dengan perisian. Agak mengecewakan yang skrin peranti ini tidak rasa cukup pantas dan mengalami isu lengah masa tidak seperti peranti pesaing dalam kelas yang sama. Ini mungkin kerana pengoptimasian perisian yang tidak cukup matang untuk cip baharu.

Skrin peranti turut dilindungi dengan kaca yang diperkuatkan sebanyak dua kali. Agak aneh kenapa peranti pesaing boleh menggunakan kaca berjenama seperti Corning, tetapi realme menggunakan jenis biasa sahaja. Ini membuatkan saya kurang yakin menggunakan peranti ini tanpa pelindung skrin.

PENGIMBAS CAP JARI

Seperti kebanyakan peranti keluaran China yang lain, realme 11 Pro+ turut menggunakan pengimbas cap jari di bawah skrin yang kedudukannya jauh ke bawah. Dengan saiz tangan yang agak besar, jari saya mudah lenguh membuatkan saya menggunakan imbasan wajah yang tidak begitu selamat sebagai pilihan sekuriti untuk menyahkunci skrin.

REKAAN

11 Pro+ pada saya adalah peranti kelas pertengahan realme yang paling cantik pernah saya lihat. Bentuk tubuh peranti walaupun kelihatan sama dengan model terdahulu, masih mampu kelihatan seperti sebuah peranti yang mewah. Ini kerana ia direka oleh bekas pereka GUCCI dengan kulit palsu di panel belakang yang mempunyai tekstur anyaman 3D serta kesan jahitan berjalur ikonik GUCCI.

Butang-butang fizikal laras suara dan kuasa berada di sisi kanan. Di atas peranti terdapat lubang mikrofon, dan kekisi speaker. Di bawah pula adalah slot kad SIM, satu lagi lubang mikrofon, kekisi speaker dan port pengecasan USB-C.

Bonggol kamera bulat direka dan berada di tengah bahagian atas. Susunan setiap lensa kamera adalah rapi dan kemasan gegelung emas di kelilingnya menjadikan warna peranti ini iaitu Sunrise Beige nampak cantik dan sedap mata memandang. Di tangan realme 11 Pro+ rasa premium seakan sebuah peranti mercu yang dua kali ganda harga jualannya. Peranti juga sentiasa selesa di dalam tangan dan mudah dikendalikan.

Realme mendakwa yang panel belakang peranti ini adalah kulit buatan dengan lapisan anti-kotor. Selepas hampir sebulan menggunakan peranti ini tanpa sebarang kerangka pelindung saya masih tidak nampak sebarang kesan kotoran seperti kerangka kulit iPhone.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – REALME UI 4.0

Sejak realme UI 4.0 diperkenalkan dengan binaan berasaskan Android 13, rekaan keseluruhan sistem operasi ini kelihatan sama dengan ColorOS 13 dan juga Oxygen OS 13. Jadi sebagai penulis di Amanz yang sudah menggunakan banyak peranti Oppo dan OnePlus, realme 11 Pro+ ini tidak rasa asing dan amat mudah untuk digunakan. Realme UI 4.0 kelihatan kemas dan ringkas seakan Android stok. realme turut banyak menawarkan ciri dan fungsi yang menarik yang tiada pada peranti pesaing.

Peranti ini hadir dengan memori sebenar 12GB RAM dan boleh menambah sehingga 12GB memori maya menjadikan jumlah RAM keseluruhan 24GB. Anda mungkin rasakan ia satu gimik, tetapi percayalah untuk saya yang banyak mengunci aplikasi di latar belakang ciri ini membantu memastikan peranti beroperasi lebih lancar.

YouTube – mod gambar-dalam-gambar yang menjadi bayang-bayang kekal selama beberapa minit.

Seperti gambar di atas saya masih menggunakan 12+4 GB RAM, sistem kerap tergendala dan banyak aplikasi tidak boleh berjalan di latar. Masalah lengah masa turut berlaku sehingga peranti mula memanas. Isu paling serius adalah apabila sistem menjadi perlahan dan sukar untuk saya keluar dari satu aplikasi kembali ke skrin utama.

Isu prestasi pada peranti ini banyak berlaku di pelancar. Saya rasakan ini kerana cip Dimensity 7050 yang masih baharu dan perisian realme belum dioptimasikan secukupnya untuk berfungsi dengan baik. Saya harapkan dengan kemas kini 2 versi Android dan 3 tahun sekuriti, realme boleh menyelesaikan isu yang saya alami.

PENANDA ARAS – Dimensity 7050

Terdapat banyak peranti di pasaran sekarang dengan cip setaraf Dimensity 7050. Antaranya adalah Poco X5 Pro dengan cip Snapdragon 778G, iQOO Z7 dengan Snapdragon 782G atau juga Redmi Note 12 Pro+ dengan Dimensity 1080 yang paling hampir sama.

Mengejutkan hanya realme 11 Pro+ yang terasa perlahan dan lengah masa. Ini sekali lagi membuktikan teori saya yang cip Dimensity 7050 masih baharu dan perisian masih tidak matang apabila dipadankan dengan cip ini.

Skor penanda aras walau bagaimanapun tidak mengecewakan. Ia boleh mencatatkan apa yang saya jangkakan untuk kelasnya. Ini agak aneh kerana ujian penanda aras boleh memaparkan skor lebih kurang sama dengan peranti pesaing tetapi pengalaman penggunaan tidak setaraf.

Geekbench 6

  • realme 11 Pro+ – 946/2382
  • Redmi Note 12 Pro+ – 960/2288
  • iQOO Z7 – 1125/3001
  • Poco X5 Pro – 781/2892

Antutu 3D

  • realme 11 Pro+ – 562446
  • Redmi Note 12 Pro+ – 463849
  • iQOO Z7 – 588831
  • Poco X5 Pro – 529942

Wild Life Extreme

  • realme 11 Pro+
  • Redmi Note 12 Pro+ – tidak boleh diuji
  • iQOO Z7 – 808
  • Poco X5 Pro – tidak boleh diuji

Pengalaman bermain permua juga cukup mengecewakan. Saya baru main Marvel SNAP dan Asphalt 9 peranti sudah mula memanas dan mengalami masalah lengah masa untuk beberapa minit selepas selesai bermain. Apabila bermain permua dengan grafik lebih tinggi, pada awalnya nampak lancar tetapi hanya untuk beberapa minit kemudian peranti tidak rasa seronok untuk digunakan.

Adakah masalah MediaTek dahulu kembali? Ini adalah isu yang sepatutnya tidak wujud memandangkan Dimensity 7050 hanyalah sebuah Dimensity 1080 yang menggunakan teknik pengeluaran yang berbeza.

TELEFONI Dan GPS

Penggunaan data mudah alih tidak membawakan masalah. Rangkaian 4G sentiasa stabil dan pantas begitu juga dengan sambungan WiFi. Untuk 5G peranti ini tiada masalah dengan kad SIM Yes 5G di kawasan Kuala Lumpur. Panggilan telefon juga jelas, suara lantang dan berkualiti. Untuk GPS peranti ini mengambil masa sedikit untuk mengunci lokasi yang mana berada di luar jangkaan saya. Spesifikasi peranti realme 11 Pro+ ini saya mengharapkan mempunyai GPS yang bagus dan pantas.

KAMERA

Realme 11 Pro+ adalah peranti pertama realme dengan kamera 200MP. Realme turut mendakwa yang peranti baharu mereka ini adalah pertama di dunia dengan kamera 200MP yang menyokong zum sehingga 4x. Sensor lain adalah 8MP untuk sudut ultra lebar dan 2MP untuk makro. Aplikasi kamera pada peranti ini juga menawarkan mod Street Photography dengan zum pintar, ciri One Take yang mengambil banyak gambar serentak dan memberi hasil terbaik serta Super Nightscape untuk mod malam lebih terang.

Dakwaan realme untuk kamera peranti kelas pertengahan mereka ini agak dahsyat. Saya sukar mempercayai ayat-ayat promosi kerana jarang sekali ia 100% benar. Jadi saya menguji secara mendalam kamera peranti ini dan berikut adalah apa yang saya dapat.

Mod auto dalam pejabat yang memelihara butiran dengan baik serta fokus yang bagus.
Mod 200MP di siang hari yang mempunyai HDR baik tetapi butiran tidak dipelihara dengan baik.
Mod auto dengan penstabilan bagus, menaiki ATV yang bergegar gambar mempunyai fokus yang bagus. Mod One Take juga berguna ketika situasi begini.

Sampel di atas setakat ini nampak menarik kecuali pada mod 200MP yang sedikit mengecewakan. Tetapi dengan adanya teknologi pixel binning hasil gambar boleh dimampatkan menjadi 50MP atau 12MP mengikut situasi.

Untuk gambar manusia, swafoto agak mengecewakan kerana terlampau terang dan tidak mempunyai fokus yang baik. Butiran hanya dipelihara pada wajah yang paling dekat dengan kamera sahaja. Mod potret kamera belakang walau bagaimanapun nampak memuaskan. Warna yang hidup, butiran yang terpelihara serta kesan bokeh yang kemas.

Potret haiwan juga berkualiti untuk kamera peranti dalam kelas ini.

Saya paling kecewa dengan kemampuan zum. Realme 11 Pro+ kononnya adalah pertama dalam industri dengan kamera 200MP menyokong zum 4x. Tetapi hasil zum digital peranti ini tidak boleh digunakan walaupun di siang hari dengan cahaya yang banyak. Fokus tidak bagus, warna pudar dan hasil gambar kabur kerana tiada butiran.

Akan tetapi kamera 200MP peranti amat berguna dengan mod Street Photography yang mempunyai zum pintar. Entah kenapa zum dalam mod ini lebih bagus dari zum mod auto. Ciri ini membolehkan pengguna sentuh subjek dan ia akan zum secara automatik dengan memberi fokus terus kepada subjek tersebut. Zum akan berlaku secara rawak sama ada 2x atau 4x. Sampel di bawah adalah dengan tera air Lonely Planet iaitu jenama terkenal sebagai panduan melancong.

Akhir sekali adalah mod malam. Jika dibandingkan dengan Honor 90 dengan kamera 200MP juga, realme nampak ketinggalan. Tetapi realme UI bersungguh-sungguh cuba memberikan pasca-proses terbaik. Untuk peranti bawah RM2000, hasil mod malam ini boleh diterima dan saya tidak malu dikongsi ke media sosial.

Untuk rakaman video, realme 11 Pro+ adalah apa yang saya jangkakan untuk peranti dalam kelas ini. Sehingga hari ini peranti Android yang berharga bawah RM3000 masih kurang memuaskan jika dikongsi di media sosial. Malah rakaman video juga tidak mempunyai warna yang menarik berbanding fotografi. Jelas di sini realme hanya memfokuskan kepada fotografi dan video hanyalah ciri sampingan.

BATERI

Peranti ini menyokong pengecasan pantas 100W yang sangat pantas. Ia mirip dengan OnePlus 10T tahun lepas memberikan realme 11 Pro+ peranti kelas pertengahan ciri sama dengan peranti mercu asas. Bateri 5000mAh peranti ini boleh dicas dari 0% ke 100% dalam masa kurang 30 minit. Sudah bagus pada pengecasan tetapi mengecewakan pada ketahanan bateri.

11 Pro+ hanya bertahan sekitar 6 jam SOT untuk penggunaan ringan dan 5 jam SOT untuk penggunaan berat. Ini adalah untuk penggunaan dalam masa satu hari. Apabila peranti kurang digunakan ia boleh bertahan sehingga dua hari dengan sekitar 2 jam SOT.

AUDIO

Seperti kebanyakan peranti realme dalam siri nombor mereka, realme 11 Pro+ ini menyokong speaker stereo dengan Dolby Atmos. Walaupun bukan yang terbaik tetapi masih seimbang dan menarik untuk mendengar muzik, menonton video dan bermain permua. Audio juga seimbang dan selesa untuk didengari. Jika speaker peranti ini lebih kuat pasti akan lebih mengasyikkan. Profil-profil Dolby Atmos dalam peranti ini seakan tidak membantu jadi saya hanya kekal menggunakan profil auto sahaja.

PESAING

Realme 11 Pro+Honor 90iQOO Z7
6.7″ AMOLED, FHD+, 120Hz6.7″ AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+6.64″ IPS LCD, FHD+, 120Hz
Dimensity 7050 (6nm)
2x 2.6 GHz Cortex-A78
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 7 Gen 1 Accelerated Edition (4nm)
1x 2.5 GHz Cortex-A710
3x 2.36 GHz Cortex-A710
4x 1.8 GHz Cortex-A510
Snapdragon 782G (6nm)
1x 2.7 GHz Cortex-A78
3x 2.4 GHz Cortex-A78
4x 1.8 GHz Cortex-A55
Mali-G68 MC4Adreno 644Adreno 642L
12GB LPDDR5
12GB Maya
12GB LPDRR58/12 GB LPDDR4x
512 UFS 3.1256/512 GB UFS 3.1128/256 UFS 2.2
Kamera Utama
200MP f/1.69, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
Street Photography Mode, One Take, Super NightScape
Kamera Utama
200MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar/Makro)
2MP f/2.4, (Kedalaman)
Hi-Res, HDR, Solo cut
Kamera Utama
64MP f/1.79, OIS (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
Micro Movie, Dynamic Photo, Supermoon
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.45
Kamera Hadapan
50-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.45
TiadaTiadaTiada
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio MonoAudio Mono
5000 mAh (Berwayar 100W)4900 mAh (Berwayar 66W)5000 mAh (Berwayar 120W)
RM 1999 (12/512 GB)
RM 1499 (8/256 GB)
RM 2099 (12/256 GB)
RM 1799
(12/512 GB)
RM 1299 (8/128 GB)
RM 1499
(12/256 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x realme 11 Pro+
  • Kabel USB-A ke USB-C
  • Pengecas SuperVOOC 100W
  • Pin SIM
  • Kerangka pelindung silikon
  • Buku panduan/keselamatan

KESIMPULAN

Realme 11 Pro+ adalah sebuah peranti kelas pertengahan mampu milik yang menyamar sebagai kelas premium. Panel belakang dengan sentuhan pereka GUCCI yang sedap di dalam tangan, nampak premium dengan kesan jahitan berjalur ikonik produk GUCCI, tekstur anyaman yang menjadikan peranti kelas ini kelihatan mewah berbanding pesaing. Rekaan tubuh yang nipis dan melengkung juga membuatkan peranti mudah dikendalikan.

Cuma prestasi peranti ini mengecewakan walaupun sudah mempunyai memori 24GB RAM (12GB sebenar + 12GB maya). Peranti juga mudah memanas dan wujud lengah masa dalam penggunaan ringan. Kamera pula tidak konsisten mirip peranti Xiaomi dalam kelas sama iaitu AI yang tidak cukup konsisten mengenalpasti warna, suasana dan tetapan terbaik untuk fotografi.

Walaupun begitu harga permulaan RM1499 agak berbaloi untuk spesifikasi peranti ini. Mungkin akan datang realme UI akan dikemaskini untuk memberikan prestasi yang lebih baik dan kualiti kamera yang lebih konsisten. Harga ini juga adalah “murah” untuk produk GUCCI.

Pro

  • Rekaan cantik, premium dan nampak mewah.
  • Realme UI dengan ciri menarik.
  • Kamera 200MP dengan mod Street Photography yang mempunyai zum pintar.
  • Pengecasan pantas, kurang 30 minit boleh penuh.
  • Harga berpatutan.

Kontra

  • Prestasi yang tidak konsisten dan kerap berlaku lengah masa.
  • Kamera tidak cukup berkualiti dengan butiran yang tidak dipelihara.
  • Ketahanan bateri 5000mAh yang mengecewakan.
Komen