Cari @ Amanz

Beberapa hari kebelakangan ini, terdapat beberapa desas-desus menyatakan program Shopee Affiliate akan ditamatkan pada 31 Julai 2023, disebabkan oleh beberapa laporan yang kurang tepat di beberapa portal web. Untuk makluman, perkhidmatan yang akan ditamatkan adalah Shopee Seller Affiliate, dan bukannya Shopee Affiliate yang biasa.

Shopee Seller Affiliate adalah program yang membolehkan para penjual dan peniaga di platform Shopee menjana wang tambahan dengan berkongsi pautan – dan menerima komisyen atas pembelian. Mengikut laman sokongan Seller Affiliate, program tersebut tidak menerima sebarang pendaftaran baharu sejak bulan Mei lepas.

Shopee menyatakan Shopee Seller Affiliate akan ditamatkan dalam usaha mereka memfokuskan sumber disalurkan ke inisiatif yang lebih baik kepada penjual dan pembeli. Mereka yang menyertai Shopee Seller Affiliate akan terus menjana insentif sehingga penghujung Julai 2023, dimana selepas itu, semua insentif akan diubah kepada 0% – atau bermaksud tidak akan menjana sebarang pendapatan melalui pautan berkenaan.

Sebagai alternatif untuknya, mereka yang ingin menjana pendapatan melalui perkongsian pautan, boleh mendaftar program Shopee Affiliate. Buat masa ini, program Shopee Affiliate masih diteruskan, dan tidak diketahui lagi bilakah akan ditamatkan. Terdapat lebih 40,000 pengguna menyertai program Shopee Affiliate buat masa ini.

Selain Shopee Affiliate, terdapat juga program dibawah Involve Asia yang menawarkan program menjana wang atas jualan, yang meliputi lebih banyak platform termasuk Lazada.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd