Anda Kini Boleh Menggunakan Avatar Untuk Panggilan Video Di Instagram Dan Facebook Messenger
Amy Maizuraa
Meta kini hadir dengan kemaskini baharu yang membolehkan anda menggunakan avatar untuk panggilan video di Instagram dan Facebook Messenger. Pembaharuan ini boleh dianggap menarik kerana dapat bantu mengembalikan kepercayaan diri seseorang secara umum atau dalam situasi tertentu. Dalam masa sama turut menyediakan pilihan lebih menarik bagi pengguna menggunakannya dengan efisien.

Ciri ini dikatakan berfungsi seakan memoji yang digunakan sewaktu panggilan Facetime, di mana ekspresi muka dan pergerakan mulut akan bergerak secara langsung. Ini bagi membolehkan apa yang disampaikan dapat difahami oleh penerima sewaktu anda berbual. Di samping menjadikannya lebih seronok digunakan berbanding hanya dapat berkomunikasi menggunakan suara sahaja.

Pengguna juga boleh memilih sama ada mahu menggunakan avatar tersedia yang juga merangkumi tema haiwan, atau sebagai pilihan menjadikannya lebih peribadi dengan gambar swafoto sendiri. Ciri ini tersedia pada peranti Android dan iOS yang diedarkan secara berperingkat dari masa ke masa.

Sebagai tambahan kepada pembaharuan ini, Meta juga menyediakan kebolehan pelekat animasi avatar digunakan pada Instagram dan Facebook Stories. Dalam masa sama turut akan secara beransur-ansur mengintegrasikan ciri avatar ke dalam pelbagai platform VR dan permainannya kelak.