Jerayawara Perfect 10th, Perfect Black LG Malaysia telah bermula hari ini, 12 Julai 2023 dan memperlihatkan siri televisyen LG evo OLED terbaru mereka, yang terdiri daripada LG OLED evo C3 dan LG OLED evo G3 yang hadir dengan teknologi paparan terbaru mereka.

Kedua-dua siri televisyen terbaru ini hadir dengan penggunaan cip pemprosesan LG α9 AI 4K Gen 6 yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk membolehkan televisyen-televisyen OLED terbaru ini untuk mengolah warna yang paling ranggi, tetapi masih realistik untuk pengalaman tontonan yang sangat mendalam.

Cip pemprosesan ini juga digabungkan dengan teknologi Brightness Booster Max untuk membantu dalam mengolah warna yang lebih realistik, dimana setiap piksel pada televisyen LG OLED evo ini boleh diubahsuai kecerahannya untuk memastikan tahap kecerahan mana-mana adegan dalam filem ataupun siri televisyen yang ditonton ialah seperti apa yang dimahukan oleh pengarah dan pembuat filem ataupun siri televisyen yang ditonton.

Salah satu kelebihan televisyen-televisyen pintar LG ialah penggunaan sistem operasi webOS, dan untuk siri televisyen LG OLED evo terbaru ini, antaramukanya telah diubahsuai untuk menjadikannya lebih mesra pengguna untuk membolehkan mereka mengagkses fungsi-fungsi televisyen ini dengan lebih mudah. Ini juga digabungkan dengan penggunaan Magic Remote terbaru LG yang kini hadir dengan fungsi kawalan suara yang membolehkan anda untuk mengakses kandungan dan juga aplikasi-aplikasi kegemaran dengan mudah dan cepat.

Untuk pengalaman tontonan yang terbaik, siri LG OLED evo C3 dan G3 juga hadir dengan teknologi-teknologi pawagam seperti Dolby Vision dan Dolby Atmos, dan jika anda membeli bar audio LG yang terbaru, anda juga boleh menikmati pengalaman audio menggunakan teknologi IMAX melalui teknologi DTS:X.

Jika anda seorang gamer tegar, anda juga akan gembira untuk mengetahui bahawa siri televisyen LG OLED evo ini hadir dengan teknologi-teknologi gaming seperti NVIDIA G-SYNC, AMD FreeSync Premium, sokongan untuk palam HDMI 2.1, Variable Refresh Rate dan juga kadar segar semula paparan 120Hz.

Televisyen pintar LG OLED evo C3 hadir dengan pilihan paparan 55 inci sehingga 83 inci, manakala LG OLED evo G3 ditawarkan dalam dua saiz, iaitu 65 inci dan 77 inci pada tanda harga berikut:
- LG OLED evo C3 55″ – RM10,999
- LG OLED evo C3 65″ – RM14,999
- LG OLED evo C3 77″ – RM29,999
- LG OLED evo C3 83″ – RM35,999
- LG OLED evo G3 65″ – RM17,999
- LG OLED evo G3 77″ – RM32,999
Jerayawara LG Perfect 10th, Perfect Black berlangsung hari ini, 12 Julai sehingga Ahad ini, 16 Julai 2023 di Centre Court, Mid Valley Megamall.