Vivo mempunyai pilihan peranti baharu di bawah siri Y menerusi pengenalan Y27 5G. Ia merupakan sebuah peranti kelas pertengahan 5G yang menggunakan cip MediaTek Dimensity 6020. Ini digabungkan lagi dengan pilihan memori sama ada, 4GB atau 6GB RAM yang juga menyokong pilihan RAM maya sehingga 6GB RAM. Kapasiti storan dalaman pula sebesar 128GB untuk kedua-dua variasi peranti.
Seterusnya skrin pula sejenis IPS LCD 6.44-inci FHD+ yang juga mempunyai kecerahan puncak 600nits. Peranti juga mempunyai sistem dwi-kamera 50MP + 2MP di belakang, sementara itu kamera swafoto pula sebesar 8MP. Bateri 5000mAh turut diberikan di sini yang menyokong sistem pengecasan 15W secara berwayar.
Lain-lain spesifikasi termasuklah sambungan USB-C, bicu audio 3.5mm, NFC dan menjalankan FunTouchOS 13 yang dibina berasaskan Android 13. Peranti boleh didapati dalam dua pilihan warna seperti Mystic Black dan Satin Purple dengan harga jualan yang masih belum diumumkan secara rasmi buat masa ini.
Peranti juga didapati telah melepasi pengesahan di Malaysia sejak 5 Julai yang lalu. Seperti biasa ia didaftarkan oleh VTalent Business Sdn Bhd dengan kod model V2302 yang menandakan pelancaran di Malaysia semakin hampir. Namun persoalan mengenai tarikh khususnya masih belum dapat dijawab buat masa ini, tetapi ia semestinya akan didedahkan kemudian.