Shell Melabur Pada Arus Oil – Perkhidmatan Memfokuskan Kitar Semula Minyak Terpakai
Shell New Ventures Sdn Bhd, salah satu anak syarikat milik penuh Shell, kini mengumumkan perjanjian kerjasama untuk melabur pada MyProtech Sdn Bhd, syarikat disebalik Arus Oil.

Bagi yang tidak mengenali akan Arus Oil, ia merupakan syarikat tempatan yang memfokuskan kepada kitar semula minyak terpakai. Telah beroperasi sejak tahun 2017 yang lepas, Arus Oil mengumpulkan minyak terpakai dari komuniti, dan turut menyediakan sebuah aplikasi khusus dalam membantu proses berkenaan. Arus Oil beroperasi di Selangor dan juga Pulau Pinang, dan mempunyai perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan ke seluruh negara.
Buat masa ini, Shell tidak menyatakan nilai pelaburan ke Arus Oil. Suntikan dana pelaburan dan sokongan Shell ini dijangka akan terus membolehkan Arus Oil berkembang pesat dari segi angka pengguna dan juga pengumpulan minyak terpakai dari isi rumah seluruh Malaysia.