Antara ciri menarik pada Nothing Phone (2) yang dilancarkan baru-baru ini adalah Glyph yang dikemaskini dengan lebih banyak fungsi. Selain boleh menjadikan Glyph sebagai lampu jam randik atau menjejak Uber, Nothing turut menawarkan komposer untuk mencipta nada dering sendiri.
Glyph Composer pada awalnya dikatakan terhad untuk Nothing OS 2.0 sahaja. Tetapi baru-baru ini aplikasi Glyph Composer telah disenaraikan oleh Nothing di Google Play Store dan boleh dimuat turun untuk pengguna Phone (1).
Aplikasi ini mengingatkan saya kepada Nokia 3310 yang boleh mencipta nada dering polifonik. Pada Glyph Composer dilihat menawarkan 5 bunyi utama iaitu Modem, Weevil, 606, Brrr dan Dan. Kemudian terdapat 5 lagi butang mewakili setiap komponen jalur LED dengan bunyi berbeza dan juga butang perakam.
Selepas rakaman selama 10 saat selesai, ia boleh terus ditetapkan sebagai nada dering sebagai alternatif kepada nada dering lain yang sedia ditawarkan. Bagi yang tidak tahu, Gyph Composer ini adalah hasil kerjasama Nothing dengan kumpulan muzik elektronik Swedish House Mafia.